Wednesday, May 15, 2013

SAMPAI BILA PAS NAK KALAH DI NEGERI SEMBILAN


SEMASA saya masih budak-budak dulu, dalam tahun-tahun awal 60an, biasa saya dengar orang-orang tua Melayu kampung di Rembau bercerita tentang politik. Dalam perbualan itu jika disebut sahaja tentang PAS, ramai yang mencebik bibir tanda tak perkenan. Pada zaman itu dalam pilihanraya memang ada didengar calon PAS bertanding di Rembau, tetapi tak pernah menang. Orang Melayu Rembau kata ‘Tak kan monang PAS tu do!’.

Berlarutanlah bertahun-tahun lamanya, pilihanraya demi pilihanraya, saya pun daripada budak dah jadi dewasa, daripada bujang dah berkahwin, daripada ada anak dah bercucu, namun PAS setiap kali pilihanraya bertanding di Rembau pasti kalah. ‘Tak sorik-sorik pulak tu tiap kali pilihanrayo ado ajo dio bertanding, kalah pulak tu!’ Bukan sahaja kat Rembau mana-mana pun di Pilah, Jelebu, Johol  atau mana-mana  alam Negeri Sembilan ini ada sahaja PAS bertanding dan kalah.

Pada pilihanraya 2008 tiba-tiba pecah khabar PAS menang DUN Paroi, dalam Bahagian Rembau. Ramailah orang Rembau yang terlopong, terduduk antara percaya dengan tidak akan berita itu. ‘Tebiat agaknya orang Melayu kito ni mengundi PAS?’

Tetapi kejutan itu tidak lama. Datang pilihanraya 2013, PAS kalah lagi. DUN Paroi pun bungkus. ‘PAS dapek tolo lagi!’ wal hasil balik asal. Semua mengeleng-ngeleng mengiyakan tanggapan bahawa PAS tak akan menang di Negeri Sembilan.

Mengapakah begitu? Apakah benar ‘taboo’ untuk Melayu Negeri Sembilan mengundi PAS? Atau apakah Melayu Negeri Sembilan ini tidak kuat agamanya maka tidak ada  simpati langsung kepada parti Islam itu? Mengapa Melayu kampung di Negeri Sembilan ini tidak seperti Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah,  Perak atau Selangor yang ada jugaklah yang mengundi dan memenangkan PAS. Di Johor yang dikatakan kubu terkuat UMNO pun Melayu sana sudah ada memenangkan PAS dua tiga kerusi. Mengapa tidak di Negeri Sembilan?

Oleh kerana saya bukan ahli PAS, maka saya tidak tahu sama ada kepemimpinan PAS Negeri Sembilan ada jawapan kepada persoalan ini. Atau ada kajian atau penyelidikan yang telah mereka buat mengapa Melayu Negeri Sembilan tidak mengundi PAS? (Mengundi di sini maksudnya mengundi yang membawa kemenangan). PAS Negeri Sembilan mempunyai pengalaman selama 55 tahun kalah di Negeri Sembilan. Tak kanlah pengalaman setengah kurun itu tidak dapat mengajar bagaimana hendak menarik perhatian Melayu beradat perpatih itu untuk mengundi parti Islam. Atau apakah PAS Negeri Sembilan masuk bertanding selama 55 tahun sekadar kononnya untuk menunaikan ‘fardhu kifayah’ sahaja tanpa semangat untuk menang?

Jika hendak membuat penyelidikan tentang Melayu Negeri Sembilan ini jangan lupa untuk mengambil kira beberapa fakta:

(1)   Melayu Negeri Sembilan sebahagiannya adalah penganut adat perpatih yang mana penghulu-penghulu adat adalah orang yang selalu ditaati. Tetapi adat perpatih itu sistemnya mirip ‘demokrasi’ dan sekarang ini semakin longgar pengamalannya.
(2)   Melayu Negeri Sembilan tidak mempunyai sejarah kuat memegang agama seperti orang Kelantan atau Kedah. Agama dalam ertikata mendalami ilmu agama. Sebab itu di Negeri Sembilan sistem pengajian pondok tidak meluas sejak dulu. Maka itu tidak ramai penduduk Negeri Sembilan lepasan pondok.
(3)   Sebahagian Melayu Negeri Sembilan adalah pengamal tarekat. Tarekat lebih mementingkan ibadat individu dan tidak berminat kepada politik. Oleh itu rata-ratanya pengamal tarekat ini sibuk dengan majlis-majlis zikir ke sana sini dan tidak ada yang meluang masa bercakap politik apatah lagi mendengar ceramah politik.
(4)   Negeri Sembilan ketandusan pemimpin agama yang giat berpolitik. Negeri Sembilan tidak ada tokoh seperti Nik Aziz di Kelantan, Ustaz Hadi di Terengganu atau Fadhil Nor (Allahyarham) di Kedah. Pun tidak ada tokoh muda seperti Salehuddin Ayob di Johor atau Nasarudin Hassan di Pahang.
(5)    Melayu Negeri Sembilan tidak mempunyai budaya politik seperti Melayu Johor, Melayu Kelantan atau Melayu Kedah. Politik hanya suatu perkara yang dianggap ringan dan tidak serius.       

Dengan memasukkan persoalan ini dalam kaji selidik kepemimpinan PAS Negeri Sembilan, maka saya yakin pelbagai rumusan boleh dibuat. Daripada situ sepatutnya boleh dilakar perancangan untuk memikat hati orang Melayu Negeri Sembilan kepada PAS. Kalau kena gayanya menjelang pilihanraya 2018 nanti PAS akan mula mendapat hasilnya. 

Thursday, May 9, 2013

Alamak... Khairy Menang!


SEJAK daripada pilihanraya umum 2008, saya memang tidak perkenan kepada calon BN P131 Rembau, Khairy Jamaluddin. Saya memandangnya sebagai seorang ahli politik muda yang oportunis, mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai menantu Perdana Menteri, Datuk (Tun) Abdullah Ahmad Badawi. Daripada cerita-cerita yang saya dengar dan juga pengamatan saya terhadap tingkah lakunya dalam video-video di You Tube, saya membuat kesimpulan bahawa Khairy adalah seorang anak muda yang angkuh, berlagak hanya dia yang pandai dan tidak pernah terasuh sebagai seorang Melayu tulen.

Apabila keputusan PRU12 diumumkan di Rembau saya amat tidak berpuas hati akan kemenangannya tetapi terubat sedikit kerana majoriti yang diterimanya merudum kepada 5,746 berbanding lebih 18,000 yang diterima oleh YB Firdaus pada tahun 2004. Apabila Khairy tidak dilantik menyertai kabinet, saya bertambah gembira dan mula melupai anak muda yang bongkak  ini.

Masa berlalu. Sampai saja PRU 2013 nama Khairy muncul lagi, kekal menjadi calon P131 Rembau. Hati saya bertanya, mengapa dia masih ada?

Selama dua minggu masa berkempen, saya mengintai-intai perilaku Khairy cuba meraih undi. Saya baca blognya dan saya dapatkan maklumbalas daripada beberapa rakan. Kempen parti lawan juga saya ikuti kalau-kalau ada kutukan terhadap Khairy. Saya baca dalam blog Aspan Alias – dia memuji Khairy.

Saya mulai sedar bahawa Khairy sudah berubah. Pengalaman mengajarnya menjadi dewasa. Penghinaan terhadapnya apabila diketepikan oleh pimpinan UMNO pusat juga mengajar dia untuk menyepikan diri. Walaupun Pemuda UMNO yang dipimpinnya tidak lagi menjadi kumpulan pendesak yang digeruni, tetapi masih boleh dia bertahan selama lima tahun. Muncul sekali sekala di sana sini.

Saya tidak boleh mengenepikan faktor keinsafan dan taubat. Benar Khairy sudah berubah. Benar dia adalah satu-satunya pemimpin muda UMNO yang cerdik dan rasional. Lebih cerdik daripada pemimpin-pemimpin senior UMNO terutamanya di Negeri Sembilan.

Maka itu, dibantu oleh kelemahan PKR dan PAS dalam Parlimen Rembau, maka menanglah Khairy dengan gemilangnya mengembalikan majoriti 18,357. Syabas!     

PRU13: Senjata makan tuan!


KAWASAN pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ada sekarang adalah antara punca kalahnya Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-13 baru lalu. Strategi mewujudkan kawasan pilihanraya seperti ini adalah seperti ‘senjata makan tuan’.

Kawasan Pilihanraya yang ada sekarang adalah sempadan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada tahun 2003.  Penyusunan semula kawasan pilihanraya ini mengambil kira apa yang berlaku dalam pilihanraya umum 1999. Dalam PRU itu BN mengalami beberapa siri kekalahan di kawasan-kawasan pengundi majoriti Melayu kerana isu terhangat pada masa itu ialah pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Negeri-negeri yang terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Maka itu kawasan-kawasan pilihanraya itu disusun dan disempadankan dengan mengambil kira supaya di kawasan-kawasan Melayu perlu ada pengundi-pengundi minoriti Cina yang menjadi ‘kuasa penentu’. Begitu juga di kawasan-kawasan majoriti Cina ada sejumlah pengundi Melayu yang akan menjadi ‘kuasa penentu’ di kawasan itu.

Strategi penyusunan kawasan seperti ini dalam bahasa Inggeris disebut ‘gerrymandering’.

Strategi ini akan memberi peluang yang lebih kepada parti pemerintah BN. Apatah lagi pada masa itu adalah suatu kepercayaan umum ataupun ‘taboo’ bahawa orang Cina tidak akan mengundi PAS dan orang Melayu tidak akan mengundi DAP.

Dengan itu bila-bila masa calon UMNO berdepan dengan PAS di kawasan Melayu, undi Cina akan menentukan calon UMNO itu menang atas  lambang BN. Begitu juga sebaliknya di kawasan Cina orang Melayu tidak akan mengundi DAP tetapi akan memberi kemenangan kepada calon MCA yang berlambangkan Dacing.

Persempadanan baru yang digazetkan pada 2003 itu pertama digunapakai pada PRU 2004. Hasilnya, disamping keghairahan memberi sokongan kepada PM Baru, Datuk Abdullah Badawi, BN menang besar yang mencatatkan rekod kemenangan paling gemilang dalam sejarah pilihanraya di negara ini.

 Menjelang PRU 2008 berlaku suatu perubahan yang tidak pernah terduga oleh sesiapa pun. Wujud suatu semangat di kalangan sebahagian pengundi yang tidak berdasarkan etnik atau kaum. Mereka bagaikan satu bangsa Malaysia yang memperjuangkan kepentingan bersama. Bagi mereka bukan lagi ‘taboo’ bagi pengundi Melayu mengundi DAP dan begitu juga tidak lagi berpantang Cina mengundi PAS.

Dengan wujudnya semangat seperti ini kuasa-kuasa penentu yang diadakan oleh SPR di kawasan-kawasan pilihanraya itu sudah tidak memberi bekas. Malah digunakan oleh pembangkang untuk memberikan keputusan mengejut.

Memang semuanya terkejut! Pembangkang yang menang pun turut terkejut.

Dengan pengalaman 2008 itulah kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat melangkah ke PRU 2013. Kali ini pengundi Cina tekad memberi undi selain Dacing. Maka itulah di kawasan-kawasan yang Melayu majoriti, undi Cina memberi kemenangan kepada calon-calon PAS dan PKR. Begitu juga sebaliknya. Keputusannya sudah sama-sama kita ketahui.

Apakah kawasan pilihanaraya yang sama akan digunakan untuk PRU 2018?

Menurut perlembagaan kawasan pilihanraya ini perlu disemak semula setiap 8 atau 10 tahun. Tahun 2013 adalah tahunnya kawasan pilihanraya ini disemak semula. Tetapi kali ini dapatkah SPR mensempadankan semula kawasan menurut suka hatinya sedangkan parti pemerintah BN tidak mempunyai kuasa 2/3 yang diperlukan.

Itulah sebab sebenarnya Anwar sudah berkempen semula mencabar SPR dua tiga hari selepas pilihanraya!   
  

Sunday, April 28, 2013

PENGUNDI SEMAKIN BERANI


PENGUNDI pada tahun 2008 masih lagi teragak-agak untuk mengundi parti selain Barisan Naional. Kerisauan akan berlaku kekacauan dan rusuhan menghantui diri jika BN kalah dalam pihanraya itu. Apa akan jadi jika pembangkang memerintah? Itu semua menjadi tanda tanya kepada pengundi pada masa itu.

Walaupun pada masa itu semangat untuk memberontak, untuk mengundi parti lain begitu bersemarak tetapi rasa takut dan cemas turut menguasai hati pengundi. Ada sebahagian yang memberanikan diri untuk memangkah selain dacing manakala yang lain masih mengundi BN sementara ‘tunggu dan lihat’ apa berlaku jika BN ada yang kalah.

Keputusan PRU2008 amat memeranjatkan. Pemimpin-pemimpin pembangkang juga terkejut dengan keputusan itu. BN mengalami kekalahan dalam erti kata hilang majoriti dua pertiga. Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Semua rakyat tertunggu-tunggu apa berlaku seterusnya.

Hari demi hari, tidak ada kekacauan yang berlaku. Tidak ada rusuhan. Tidak ada orang Melayu yang tergolek di sana sini. Tidak ada orang Cina yang mati bergelempangan. Semua aman damai, hidup seperti biasa. Tidak ada bezanya kehidupan harian di Pulau Pinang atau pun di Johor. Kedamaian di Kelantan sama dengan kedamaian di Pahang.

Sejak itu keyakinan mulai timbul di hati pengundi bahawa mengundi pembangkang tidak mendatangkan sebarang bencana. Kebimbangan tentang kekacauan dan rusuhan hanyalah satu persepsi yang dimomok-momokkan dari dulu. Apabila benar bertukar kerajaan tiada huru hara yang berlaku. Semuanya macam biasa. Keyakinan di hati pengundi kian kukuh.

Sepanjang lima tahun ini pula politik sentiasa panas. Jumlah pembangkang yang ramai berbanding dulu sentiasa menimbulkan isu-isu yang menggegarkan masyarakat. Persada politik tidak pernah sunyi. Kebebasan bersuara semakin jelas kewujudannya. Orangramai menyaksikan sendiri betapa pemimpin-pemimpin pemerintah di kritik berdepan-depan. Rasa kebebasan benar-benar wujud.

Dan akhirnya selepas lima tahun yang panjang, pengundi sekali lagi akan mengadap peti unti. Kali ini keyakinan pengundi tidak seperti 2008. Lebih ramai yang berani daripada yang takut. Kematangan politik kian meninggi. Ramai yang tidak takut menunjukkan sokongan kepada pembangkang secara terang-terangan. Dan, majoriti yang senyap (the silent majority) yakin apa yang mereka hendak pilih.

Dengan sikap inilah pengundi akan menentukan masa depan negara ini pada 5 Mei ini. Kali ini tidak ada yang menghalang mereka untuk mengundi siapa saja yang mereka suka. Ini amat membimbangkan Barisan Nasional!

Saturday, April 27, 2013

BN GAGAL DI ALAM CYBER


SATU daripada penyebab kekalahan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008 adalah berleluasanya penggunaan media baru (internet). Melalui internet pengundi terutamanya pengundi muda (40 tahun ke bawah) memperolehi maklumat perkembangan politik sekaligus mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan siapa hendak diundi.

Pemimpin-pemimpin BN selepas PRU itu mulai sedar akan pengaruh media baru ini kepada pengundi. Namun ramai juga yang tidak mempercayainya seperti bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin.  Pengulas dan penganalisa politik bebas juga tegas mengatakan bahawa media baru memberi sumbangan yang besar kepada corak pengundian pada PRU2008 itu.

Maka itu pemimpin-pemimpin tertinggi BN khususnya UMNO mengarahkan supaya tumpuan diberikan untuk memasuki dan menguasai media baru ini. Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat digalakkan berinteraksi melalui internet sama ada melalui laman-laman Facebook atau Blog. Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sendiri ketika itu mempunyai blog yang antara tertinggi dilayari di negara ini.

Tidak cukup itu UMNO juga menubuhkan unit-unit khusus untuk mewujudkan gerila-gerila cyber yang mengendalikan blog-blog pro-UMNO. Gerila-gerila ini dibayar, ditaja dan diupah untuk mengendalikan blog. Mereka diarahkan melakukan apa saja yang perlu bagi mempertahankan UMNO. Lantas itu bermulalah ‘perang cyber’ yang amat sengit sejak 2008 sehinggalah menjelang PRU2013.

Lahirlah beratus-ratus (atau mungkin beribu-ribu) jumlah blog-blog pro-UMNO yang tugas mereka adalah menyerang blog-blog yang dikendalikan oleh penyokong-penyokong pembangkang atau Pakatan Rakyat. Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar daripada blog-blog pro-UMNO ini adalah dibayar atau diupah. Tidak ada undang-undang atau peraturan yang mengawal mereka. Mereka bebas melakukan apa saja.

Dengan kuasa wang, ternyata jumlah blog-blog pro-UMNO ini tiada tandingannya. Mereka berada di mana-mana sahaja di alam cyber. Dari segi jumlah jelas sekali mereka memenangi ‘peperangan ini’. Tetapi dari segi matlamat belum tentu lagi mereka yang menang.

Penulisan blog, portal, facebook atau apa saja panggilannya adalah sama matlamatnya iaitu memberi maklumat dan mempengaruhi minda pembacanya. Sebagaimana media-media konvensional seperti akhbar dan televisyen, yang penting ialah menarik minat pembaca untuk membacanya dan penonton untuk menontonnya.

Sayang sekali blog-blog pro-UMNO yang begitu banyak ini gagal mencapai matlamatnya. Mereka dibayar untuk menyerang lalu mereka menyerang dengan apa cara yang mereka tahu. Mereka memaki hamun, mecarut-carut tak tentu pasal dan berkelahi macam budak-budak kalah main guli. Mereka menjadikan topik-topik lucah sebagai bahan untuk mencerca lawannya tak ubahnya seperti pelacur-palacur yang berkelahi sesama sendiri merebut pelanggan di lorong-lorong gelap.

Menyiarkan visual-visual lucah yang dikait-kaitkan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi agenda yang paling glamour di kalangan mereka. Diperingkat awal visual-visual ini disiarkan ramai yang tertarik dan mempercayainya. Tetapi apabila sudah terlalu kerap ia ditayangkan pengunjung-pengunjung alam cyber mulai jemu, mulai meluat, menyampah dan akhirnya mengenepikan visual-visual itu begitu sahaja. Sekaligus ‘kredibiliti’ blog-blog ini jatuh berkecai. Blog mereka akhirnya hanya dikunjungi oleh mat-mat rempit yang mencari hiburan-hiburan murah dan suka membaca carut marut si blogger.

Ada juga blog-blog penyokong pembangkang yang terikut-ikut dengan keletah blog-blog pro-UMNO ini. Mereka juga menerima nasib yang sama – hilang kredibiliti. Cuma jumlah mereka agak kurang kerana tiada siapa yang memberi upah berbanding yang pro-UMNO.

Tercapaikah matlamat blog-blog pro-UMNO ini? Jawabnya tidak!

Pengundi atau pun bakal pengundi yang melayari internet adalah mereka yang celik akal. Mereka sekurang-kurangnya berpendidikan SPM dan ramai yang berdiploma atau berijazah. Atau mereka adalah anak muda yang bertamadun dan mengerti apa itu akhlak serta dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Pendek kata mereka adalah kalangan yang berfikir.

Mereka ini melayari alam internet untuk mencari bahan-bahan dan maklumat-maklumat politik yang tidak diperolehi di dalam media-media arus perdana.Mereka ingin mencari maklumat yang tepat dari kacamata sebelah sana (pembangkang). Tidak semestinya mereka ini penyokong pembangkang, tetapi mereka adalah pencari fakta daripada kedua-dua belah pihak untuk dijadikan hujah bagi mereka membuat keputusan. Media arus perdana tidak dapat memberikan keseimbangan maklumat kedua-dua pihak. Media arusperdana berat sebelah.

Di alam cyber pengundi-pengundi bertamadun ini juga tahu memilih antara blog atau portal yang seimbang atau boleh dipercayai. Mereka mengkesampingkan blog-blog yang penuh dengan maki hamun dan sumpah seranah. Mereka mencari blog dan portal yang berhujah dengan fakta yang baik dan mempunyai kredibiliti. Jika mereka membaca tulisan-tulisan A.Kadir Jasin misalnya, mereka juga membaca tulisan-tulisan Aspan Alias atau Sayuti Omar. Mereka tahu A.Kadir Jasin penyokong kerajaan dan mereka juga tahu Aspan adalah ahli DAP. Namun mereka menghormati pendapat kedua-duanya.

Dan, bagi blog-blog yang penuh dengan sumpah seranah dan maki hamun, tinggallah mereka dengan peminat-peminat mereka yang ‘eksklusif’!! 

Sunday, March 3, 2013

Lahad Datu: Kalaulah DR. MAHATHIR masih PM

Kalaulah Dr. Mahathir Mohamad masih lagi Perdana Menteri Malaysia sekarang ini (2013) jangan harap penceroboh Sulu di Lahad Datu itu akan dapat bertahan lama. Dalam tempoh beberapa hari sahaja insiden itu akan selesai dengan muktamad. Dr. M terbukti seorang yang tegas, cepat bertindak dan berani mengambil risiko. Alangkah bertuahnya kita kalau Mahathir masih lagi PM!

Apakan daya PM sekarang ini tidak sehebat Mahathir, malah terlalu lemah dan jelas nampak takut untuk bertindak dan mengambil risiko. Nampak benar Dato' Najib 'try to play safe' dengan menyerahkan keputusan bertindak kepada Ketua Polis Negara. Suatu tindakan yang berunsur penakut dan cuba mempertahankan dirinya jika peristiwa buruk berlaku dengan ayat: "Bukan saya yang buat keputusan tetapi KPN!" sedangkan PM adalah Pengerusi Majlis Keselamatan Negara.

Oh...kalaulah Dr. Mahathir masih lagi Perdana Menteri Malaysia!

Wednesday, November 28, 2012

BILA USTAZ JADI TOK BOMOH

"Jangan sekali-kali pergi ke kuil walau apa pun alasan," tegas Ustaz Mohd Zaidi Ramli, mantan Timbalan Mufti Negeri Sembilan (sekarang berkhidmat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan).
"Kita khuatir akidah akan tergugat ketika berada di dalam kuil," sambungnya ketika memberi ceramah di sebuah surau taman perumahan di pinggir bandar Seremban.

Berkali-kali tegahan ini disebutnya sepanjang ceramah dua jam itu. Jelas bahawa beliau amat tidak selesa dengan perkembangan mutakhir ini yang menampakkan orang-orang Melayu (terutama pemimpin) yang bersikap begitu leberal terhadap bukan Islam terutamanya penyembah berhala.

Pak Lang setuju dengan pendirian Ustaz Ramli itu, tetapi ada gejala lain yang lebih serius dan berbahaya yang perlu ditangani lebih daripada isu kuil. Kalau soal kuil kita berkeyakinan orang Melayu memang kebal tidak mudah terpesong menyebelahi si penyembah berhala. Kita juga yakin majoriti orang Melayu akan tetap mengelak daripada mendekati atau memasuki kuil. Yang pergi ke kuil itu adalah segelintir cuma yang mencari pengaruh politik atau laba lain yang mungkin ditemui.

Lebih berbahaya daripada kuil ialah gerakan mensyirikkan orang Melayu di kalangan Orang Melayu sendiri. Ini adalah gerakan yang amat berbahaya tetapi amat sedikit usaha dibuat untuk menentangnya. Apa yang Pak Lang maksudkan ialah  merebaknya kepercayaan Orang Melayu kepada khurafat-khurafat yang bertopengkan Perubatan Tradisional Islam. Mentang-mentang ada label 'perubatan Islam' kita beranggapan semuanya beres tidak ada unsur-unsur syirik di dalamnya.

Sebenarnya kita silap! Pada hari ini Orang Melayu semakin kuat mempercayai kepada makhluk-makhluk ghaib yang mempunyai kuasa menjadi punca segala penyakit di dunia. Hanya dengan menangkap, memancung dan membunuh jin/syaitan baru sesuatu penyakit dapat dipulihkan. Rata-ratanya ramai yang sanggup berhabis-habisan wang ringgit untuk menentang makhluk-makhluk ghaib ini. Maka itu perubatan tradisional ini menjadi satu industri yang lumayan.

Tok-tok Dukun, Bomoh dan Pawang yang sekarang bergelar 'USTAZ' , menggunakan pelbagai cara untuk meyakinkan orangramai bahawa merekalah yang terhandal. Maka keluarlah pelbagai kaedah perubatan yang sebelum ini tidak pernah didengar di Alam Melayu. Semua kaedah ini disaluti dengan hujah-hujah keIslaman dengan menafsir ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis-hadis dhaif atau palsu.

Ustaz-ustaz yang benar-benar ahli agama lepasan Azhar atau universiti lain di Timur Tengah juga turut berubah menjadi pengamal perubatan tradisional ini. Pendapatan mengubat orang ini lebih lumayan daripada menjadi guru agama atau penceramah-penceramah di masjid dan surau. Oleh kerana mereka memang pandai berbahasa Arab dan membaca ayat suci dan hadis dengan lancar maka mereka lebih dipercayai.

Dan... ustaz-ustaz muda ini juga mencampur baurkan kisah-kisah tahyul Melayu dalam perubatan yang kononnya berteraskan al-Quran dan Sunnah. Mereka juga bercerita tentang saka, susuk, santau, perubatan jarak jauh, menangkap dan membunuh jin, memagar rumah dan beraneka kisah-kisah tahyul yang diwarisi oleh orang Melayu sejak zaman puntung berasap.

Orangramai yang jahil dalam soal ini cepat sahaja terpengaruh dan yakin dengan segala khidmat nasihat yang diberi walaupun itu semua tidak ada di zaman Nabi dan tidak pernah diamalkan oleh para sahabat maupun ulama-ulama salaf selepas mereka.

Inilah syirik tersembunyi yang bermaharajalela di kalangan masyarakat Melayu Islam dewasa ini. Ini lebih berbahaya daripada melihat kuil mahu pun  berinteraksi dengan mubaligh Kristian.

Ustaz Zaidi dan juga ustaz-ustaz lain yang masih belum tergelincir ke alam perubatan tradisional ini perlu menangani masalah ini. Cepat!    

Saturday, October 8, 2011

Seronoknya jadi BOMOH



BEBERAPA tahun lalu, ketika Pak Lang hendak bersara, seorang anak buah Pak Lang yang berpangkat Pengurus Pemasaran bertanya;

"Boss...boss! bila pencen nanti Boss nak buat apa?"


"Tak tahulah... rasa-rasanya nak jadi petani!" jawab Pak Lang, jujur.
"Jangan jadi petani Boss, saya cadangkan Boss jadi bomoh!" katanya sambil tersengeh.
"Bomoh? Apa yang aku boleh ubat?" jawab Pak Lang separuh terkejut.
"Alaah.... bomoh boleh ubat apa penyakit pun dalam dunia ini. Boss tak perlu susah-susah cari ijazah. Tak payah susah-susah hafal apa-apa ayat pun. Janji pandai cakap dan berimajinasi tinggi, pasti Boss jadi bomoh yang handal," katanya.

Pak Lang memandangnya dengan agak serius.
"Betul Boss, cuba Boss fikir-fikirkan. Bomoh sekarang ni cakap apa pun orang percaya. Tak payah nak buktikan apa-apa pun secara saintifik. Tak payah nak bukak buku-buku tebal atau kitab-kitab. Janji Boss pandai buat cerita-cerita yang pelek-pelek. Buat cerita-cerita seram sikit. Lepas tu cakap pasal Hantu Raya ke, Pelesit ke, Saka ke, Orang Bunian ke atau cipta aje nama-nama hantu yang pelek-pelek. Hantu-hantu ni punca penyakit. Semua orang mesti percaya!" kata anak buah Pak Lang yang berbadan montel itu.

"Jadi orang marketing macam saya ni pun orang kurang percaya. Tunjuklah macam-macam perangkaan atau bukti-bukti jelas, masih orang tak percaya cakap saya. Tapi... kalau bomoh yang cakap... mereka cepat percaya. Bagi duit lagi..... apa macam Boss?" sambungnya lagi.

Dia tersenyum lebar sambil menghulurkan tangan bersalaman dan berlalu pergi. Pak Lang membalas senyum tetapi masih termangu-mangu mendengar cadangannya itu.

"Betul jugak cakap budak ni!" kata hati Pak Lang.
Apa tidaknya. Zaman ini di mana cerita-cerita hantu, tahyul mahyul sedang bermaharajalela di kaca TV dan panggung-panggung wayang, majoriti orang Melayu mempercayai kisah-kisah ghaib ini. Semua penyakit dikaitkan dengan kisah-kisah hantu dan makhluk halus. Walaupun rata-ratanya orang Melayu sekarang dah berpelajaran tinggi (sekurang-kurangnya sampai peringkat SPM) namun kisah-kisah tahyul ini cepat sahaja dipercayai.

Sifirnya senang sahaja. Hantu dan makhluk halus hanya boleh ditentang oleh bomoh! Maka itu 'profession perbomohan' semakin melonjak dan berkembang seluas-luasnya. Nak jadi bomoh tak payah minta lesen macam nak jadi doktor. Tak payah buat 'housemanship' atau 'chambering' macam nak jadi peguam. Nak jadi bomoh tak payah pergi universiti tiga empat tahun. Tak payah susah payah nak cukupkan 'credit hours'. Nak jadi Bomoh tak payah minta permit niaga. Nak jadi bomoh tak payah nak dapatkan tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor atau Majlis Agama Islam negeri-negeri. Tak payah nak minta kebenaran JAKIM. Tak payah nak minta cop halal. Semua tak payah. Siapa-siapa pun boleh jadi bomoh. Budak umur lapan tahun pun boleh jadi bomoh.

Untuk lebih meyakinkan orangramai Melayu, tukar sikit nama profession tu. Jangan panggil bomoh, panggil USTAZ! Sekarang ini semua bomoh dikenali sebagai Ustaz. Mereka tak mengaku menjadi bomoh, dukun atau pawang. Tetapi kalau dipanggil ustaz, mereka tersenyum lebar sambil mengangguk-ngangguk. Eh...siapa tak nak dipanggil ustaz. Tak payah pergi Universiti Azhar di Mesir atau universiti-universiti di Jordan, Yaman, Saudi Arabia atau Universiti Islam Antarabangsa, sudah dapat title Ustaz. Boleh ubat orang lagi, macam doktor!

Penampilan diri pun kena nampak warak sikit. Pakai kopiah putih, baju putih, dahi ada tanda hitam sikit (macam orang terlampau banyak sujud), dalam poket sentiasa ada tasbih, cincin bermata hijau atau hitam di jari tangan kiri kanan dan mulut selalu komat kamit macam orang berbisik tetapi sesekali terdengar bunyi "Lailahaillallah" atau "MasyaAllah" atau "bunyi macam ayat Quran tapi tak tentu ayat apa". Bila duduk nampak santun tetapi sekali sekala merenung di beberapa penjuru rumah macam kononnya nampak makhluk ghaib.

Mengubat orang pun bukan susah sangat, mula-mula perhatikan keadaan orang yang sakit tu. Masa orang tu becerita tentang sakitnya atau masalahnya, masa itu otak kena cepat memikirkan jalan cerita yang hendak dimulakan. Cerita yang paling senang sekali ialah 'terkena buatan orang'. Dialog lebih kurang macam ni: "Ada orang yang sakit hati ni... saja dia nak bagi susah. Orang tu pun bukan orang lain, dekat-dekat rumah aje...." Bila kelihatan si pesakit atau warisnya agak terkejut, boleh disambung lagi dialog tu: "Tak payahlah saya cakap siapa, kita ubat ajelah...InsyaAllah boleh elok. Cuma, orang ni keras sikit ilmunya. Dia pakai jin kafir. Makan masa juga nak halau jin tu. Tapi tak apa, dalam tiga kali Jumaat, larilah dia tu..." Mendengar kan ini tentulah si pesakit atau warisnya rasa lega. Lepas itu apa saja yang disuruh bomoh tu akan dilaksanakan tanpa soal jawab.

Nanti semasa pesakit nak balik dia atau warisnya akan bertanya, "Berapa pengerasnya Ustaz?"

Masa ni kena pandai jawab yang meyakinkan. Paling afdal jawab macam ni: "Eh.. saya ni ikhlas mengubat, tak minta apa-apa bayaran pun. Berapa nak bagi saya terima, tak bagi pun tak apa, saya tak mengumpat. Saya cuma harapkan penyakit tu akan sembuh. Alhamdulillah." Jawapan macam ni cukup meyakinkan yang bomoh tu seorang yang 'ikhlas' dan 'berada di jalan benar'. Lapang dada si pesakit dan warisnya. Dengan jawapan begini dia tidak akan teragak-agak nak bagi dua atau tiga puluh ringgit.

Untuk mendapat bonus, Ustaz Bomoh ni bolehlah buat ayat macam ni, "Datang sekali lagi kalau dapat bawa tengkorak tupai jantan mati beragan! Penting tu.... sebab orang yang mengenakan sihir ni bukan calang orang. Kuat jin khadamnya tu." Dengan ini 'confirm' si pesakit atau warisnya atau siapa saja pun tak akan dapat mengadakan tengkorak tupai jantan mati beragan! Maka si pesakit atau warisnya akan berkata: "Tak dapat kami nak cari benda tu Ustaz. Kalau Ustaz boleh, tolonglah kami." Ustaz Bomoh akan berkata, "Memang susah carinya itu, saya pun kena minta tolong kawan-kawan Orang Asli di Ulu Kelantan untuk mencarinya. Kena belanjalah sikit. Dia orang tu pun kena masuk hutan empat lima hari baru dapat." Pesakit atau warisnya akan bertanya: "Berapa agaknya upah suruh dia orang cari tu, Ustaz?" Inilah jawapan bonus daripada Ustaz Bomoh, "Dulu ada orang Jelebu tu, sakit macam ni jugak, dia bayar upah pada Orang Asli tu dalam tujuh ratus ringgit, termasuk belanja tambang menghantar dari Ulu Kelantan ke sini. Saya tak ada apa-apa, saya tolong cakapkan aje kat Orang Asli tu!" Dengan ini, demi atas nama ikhtiar untuk berubat, di pesakit atau warisnya akan bersetuju. Mereka pun bukannya kenal antara tengkorak tupai dengan tengkorak tikus. Apatah lagi tengkorak tupai jantan mati beragan!

Paling menyeronokkan Ustaz Bomoh ialah bila datang dua ibu bapa membawa anak gadisnya yang sakit tak lalu makan tak mahu minum. Gadis bibir nipis berkulit putih kuning, hidung mancung dan berkening lebat itu nampak muram macam orang putus cinta. Ustaz Bomoh dalam hati akan berkata-kata, "Ishhh....cantik budak ni...".

Mari kita bayangkan apa agaknya cerita yang akan dibawa oleh Ustaz Bomoh ni untuk mengubat si putih kuning itu? Agak-agak apa pengerasnya?
























Wednesday, September 28, 2011

Warung Tak Laku, salahkan hantu



PAK Boko tersenyum sinis memandang sebuah lagi warung makan didirikan tidak jauh dari warung makan miliknya. Sudah lebih tiga bulan warung miliknya itu beroperasi, menjual nasi lemak, nasi campur, mi goreng, mi hailam, mi sup, mi bandung dan macam-macam mi lagi. Ketika mula-mula dibuka di tapak tepi jalan Taman Springhill, Port Dickson, perniagaan amat laris. Hari pertama tak menang tangan. Pak Boko basah kuyup bermandi peluh membuat teh tarik, Nescafe tarik, Milo tarik, teh O, teh nipis dan macam-macam lagi minuman. Isterinya pula bagai nak pitam goreng pelbagai masakan panas tempahan pelanggan. Dua anaknya, seorang bujang seorang gadis, juga berpeluh-peluh melayani permintaan pelanggan.



Itu cerita hari pertama, minggu pertama. Memang ramai yang datang makan ke warung Pak Boko. Itulah warung pertama di taman perumahan itu. Pada minggu kedua, jumlah pengunjung warungnya mulai berkurang. Masuk minggu ketiga, lagi kurang yang datang. Masuk bulan kedua, jumlah pelanggannya hanya cukup untuk balik modal dan untung sedikit. Namun, Pak Boko tetap berpuas hati kerana masih lagi ada untung untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga. Begitulah seterusnya sehinggalah ke penghujung bulan ketiga.




Tiba-tiba suatu pagi sebuah lori kecil masuk ke kawasan taman perumahan itu dan berhenti agak-agak sepelaung dari warung Pak Boko. Dari lori itu turun kayu-kayu tiang, gelegar dan papan-papan dinding. Beberapa keping zink diturunkan juga berikat dengan dawai. Tak lama lepas itu kelihatan tiga orang tukang mula mendirikan sebuah warung.



Pak Boko berdebar. Terdirinya warung baru itu bermakna dia sudah ada saingan. Apa yang akan dijualnya? Pasti makanan. Apa pun makanan yang dijual pasti akan menjejaskan sedikit sebanyak jualan warung Pak Boko. Ini satu ancaman. Hati Pak Boko mula mendidih. Mahu saja rasanya malam nanti dia pergi membakar warung baru itu. Namun isterinya menasihatinya supaya bersabar.



Beberapa hari kemudian memang apa yang sangat dibimbangkan oleh Pak Boko telah berlaku. Warung baru itu memulakan perniagaannya. Jualannya hampir serupa dengan jualan di warung Pak Boko tetapi ada beberapa kelebihan. Di sebelah pagi warung baru itu ada pula menjual nasi dagang, nasi kerabu dan laksam. Padanlah pun sebab pemiliknya, Mek Ani, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.



Warung Mek Ani dikerumuni oleh pelanggan rata-ratanya penduduk Taman Springhill dan juga pekerja-pekerja sekitar kawasan itu. Hari pertama memang ramai. Minggu pertama tetap ramai. Pak Boko yang sentiasa memerhatikan dari jauh berharap masuk minggu kedua dan seterusnya pelanggan akan berkurang seperti yang berlaku pada warungnya dulu. Tetapi tidak. Minggu kedua seterusnya bulan kedua, warung Mek Ani tetap ramai dikunjungi pelanggan. Masuk bulan kedua begitu juga.



Sementara itu warung Pak Boko semakin tenat. Sejak warung Mek Ani dibuka, pelanggan Pak Boko makin berkurang. Menjelang bulan kedua, perniagaan Pak Boko tidak balik modal. Nasi lemaknya tak laku, lauk pauk untuk tengahari tidak berusik, basi begitu sahaja. Isteri Pak Boko dan dua anaknya duduk termenung, sekali-sekali menguap sambil menunggu pelanggan. Air didih Pak Boko kering menjadi wap begitu saja tanpa ada teh atau Nescafe tarik. Sekiranya keadaan ini berterusan dalam tempoh seminggu dua lagi, Pak Boko tiada pilihan tetapi menutup warungnya. Ini tak boleh jadi, fikir hati Pak Boko.



Pak Boko minta bantuan. Dia menelefon Pak Lang Rembau minta tolong carikan bomoh untuk memulihkan perniagaannya.



"Buat apa cari bomoh?" tanya Pak Lang Rembau kehairanan.

"Warung aku dah kena buatan orang! Ada orang dengki nak curahkan pasir dalam periuk nasi aku. Orang itu hantarkan Hantu Raya kat warung aku supaya pelanggan tak nampak warung aku hanya nampak warung mek Kelantan tu aje," kata Pak Boko bersungguh-sungguh.


"Takkanlah begitu?"sahut Pak Lang.

"Betul Lang, kau tolonglah aku buatkan pendinding ke... atau semah halaukan hantu tu," rayu Pak Boko.

"Yo..lah besok aku datang," jawab Pak Lang Rembau.



Esoknya, seperti dijanji sebelum matahari terpacak di ubun-ubun, Pak Lang dah sampai ke warung Pak Boko. Sebelum masuk ke warung itu, Pak Lang memerhati warung Mek Ani daripada jauh. Memang betul warung Mek Ani tu penuh pelanggan.



Selepas bersalaman Pak Lang duduk di suatu meja. Tiada pelanggan lain di situ kecuali Pak Lang. Pak Boko suruh isterinya buatkan sepinggan mi goreng untuk Pak Lang. Lepas itu mulalah Pak Boko bercerita.



"Aku yakin betul memang mek Kelantan tu hantar Hantu Raya kat warung aku," kata Pak Boko.

"Macam mana kau tahu," tanya Pak Lang.

"Ada satu malam tu anak bujang aku balik dari PD dia ternampak ada kelibat orang lalu lalang kat warung aku. Bila suluh dengan lampu motornya, kelibat tu hilang," cerita Pak Boko bersungguh-sungguh.

"Mungkin budak-budak kaki dadah kot yang cari tempat nak lepak," jawab Pak Lang.

"Eh...betul hantu tu. Ada beberapa orang yang kenal Mek Kelantan tu kata memang mek tu ada menyimpan saka," hujah Pak Boko.

"Eh..saka ke Hantu Raya?" tanya Pak Lang separuh menyindir.

"Tak kiralah....apa pun hantu lah tu,"kata Pak Boko.


"Kau tahu Lang.... sejak warung Mek tu ada, siapa saja yang makan kat warung aku ni mesti tak lalu makan. Mesti tak habis. Mereka makan setengah, berhenti makan, bayar duit terus cabut. Hah... apa maknanya tu. Hantulah yang kacau selera dia orang tu," tambah Pak Boko.



Lama berbual, mi goreng yang dimasak oleh isteri Pak Boko pun sampai. Kebetulan Pak Lang memang dah lapar. Belum sempat dipelawa, Pak Lang dah capai sudu dan garpu, mula menyuap. Masuk suapan yang kedua, Pak Lang mula terhenti-henti mengunyah.



"Alamak tak rasa apa pun mi goreng ni! masin tidak, tawar pun bukan. Ada kepahit-pahit macam bawang hangus, ada pula bau macam udang busuk. Macam mana ni?" kata hati Pak Lang.



Pak Lang buat-buat cerita kelakar supaya boleh ketawa. Dengan ketawa itu dapat menutup wajahnya yang sebenar menahan rasa tidak enak. Kata orang muda sekarang 'cover'!



"Eh...cuba aku rasa rendang pulak campur mi sedap tak?"kata Pak Lang sambil bangun mengambil sesenduk rendang daging diletakkan atas mi gorengnya. Pak Lang berharap rendang itu akan dapat menyedapkan rasa mi. Pak Lang pun makan mi bersalut rendang. Mata Pak Lang hampir terbeliak. Di tahanya juga, 'cover'.



"Alamak...rendang pun rasa kelapa dah lama -- hapak!" kata hati Pak Lang. "Kalau aku tak habiskan mi ini memanglah Pak Boko akan kata bahawa aku pun terkena gangguan Hantu Raya Mek Ani. Tapi nak buat macam mana? memang tak sedap," bisik hati Pak Lang.



Lebih setengah jam Pak Lang mengambil masa untuk menghabiskan mi goreng Pak Boko. 'Berhempas pulas' dia menelan mi itu. Sos cili Aminah Hassan hampir setengah botol dicurahkan ke dalam mi. Kicap cap Kipas Udang pun silih berganti di titiskan ke dalam me. Janji boleh telan. Dalam pada menelan mi beraneka campuran itu, telinga Pak Lang di pasak oleh leteran Pak Boko yang tak sudah-sudah mengumpat Mek Ani. Pedulilah apa dia nak cakap, Pak Lang terus menyuap. Akhirnya habis juga mi itu.



"Ahhh...leganya..." kata Pak Lang.



"Apa?" tanya Pak Boko yang mendengar keluh lega Pak lang.



"Tak...aku kata lega...dah kenyang!" jawab Pak Lang.



"Hah itulah Lang, pendinding kau memang kuat. Kalau tak pasal pendinding yang engkau pakai, engkau pun takkan dapat habiskan mi tu," kata Pak Boko penuh yakin.



Pak Lang Rembau tersengeh-sengeh sambil mengangguk. Nasib baik dia tidak tersasul mengeleng-ngeleng.



Seketika kemudian, Pak Lang minta diri untuk pulang. Dia meyakinkan Pak Boko akan berbuat sesuatu. Namun dalam hatinya dia tahu apa masalah warung Pak Boko. Cuma dia tak sampai hati nak bagi tahu Pak Boko.



Sebulan kemudian warung Pak Boko ditutup.




































Wednesday, September 21, 2011

Bogo Rembau VS Burger Seremban





HARI itu Pak Itam singgah rumah dengan muka tersenyum-senyum. Mak Itam dan dua anak bujangnya juga tersengeh-sengeh sambil bersalaman. Muka masing-masing macam orang puas. Hati aku tertanya-tanya apa hal pula Pak Itam tiba-tiba datang berkunjung.

Pak Itam memecahkan persoalan dengan berkata, "Den sajo singgah ni, dah lamo tak jumpo kau." Sambil perpaling kepada Mak Lang, Mak Itam menyampuk,"Jangan susah-susah buek air, kito semuo dah makan. Dah konyang."

"Poi kenduri ko?" tanyaku pantas.

"Tak. Poi makan bogo kek Paroi Jaya. Sodap bogo ee..." jawab Pak Itam pantas.

Aku terkebil-kebil. Dalam hati mencari jawapan apa hal Pak Itam dari Kampung Legong Ulu, Rembau, datang ke Paroi Jaya, Seremban semata-mata nak makan burger. Betul ke tidak Pak Itam ini.

"Rombau tak ado bogo ko?" tanyaku mencari penjelasan.

"Ado! Tapi tak sodap. Orang kato bogo kek Paroi Jaya tu sodap. Itulah den datang cubo. Memang sodap. Bogo kek Rombau tak sesodap itu," Jawab Pak Itam.

"Jadi, datang dari Logong ni semato-mato nak makan bogo Seromban lah ni?" tanyaku untuk mengesahkan.

"Yo lah!" jawab Pak Itam sambil ketawa beramai-ramai. "Duit minyak kereto lobih sikit tak apo asalkan pueh makan," sambungnya diikuti lagi deraian ketawa.

Aku tumpang tersenyum. Cuma dalam kepala ini terus-terusan musykil, apa pasal burger Rembau itu tidak sesedap burger Seremban? Sedangkan burger yang digunakan sama jenama 'Burger Ramly'. Sos cili dan tomato pun sama. Timun dan salad pun sama. Mayonis pun rasanya sama. Sama di bakar atas kuali besi leper empat segi. Api sudah gerenti sama panasnya. Macam mana boleh burger Rembau tak sedap, burger Paroi Jaya juga yang dicari. Heran...heran?

"Bukan apo yang buek bogo Seromban ni sodap, budak jual bogo tu tak kedokot. Timun ee banyak, kubis ee banyak, ado bawang pulak tu. Sos dongan mayonis tu di bubuh ee meladung-ladung... macam roti canai banjir lah.... mano tak sodap," Pak Itam memberi penerangan.

Belum sempat aku menyampuk Pak Itam menyambung lagi, "Kek Rombau? kek Koto ko, kek pokan Rombau ko, kek pasar malam ko, semuo ee kedokot. Timun adolah dua tigo uleh, kubis pun ambik ado ajo, bawang langsung tak ado. Sos ee? bubuh sikit yo.. mahal kato ee. Mayonis bertuah amek-amek kalau ado. Mano nak sodap?"

Aku mengangguk.

"Hargo bogo kek Rombau samo macam Seromban, tapi sini sodap...pueh hati. Lagi satu, kalau buek banjo kek Rombau, tolo ayam ee gred C ko D. Yang paling kocik lah.... tak macam Seromban tolo ee gred A. Tengok lebar ee pun dah tahu......" rungut Pak Itam lagi.

"Yo lah Pak Itam, selalu-selalulah datang Seromban makan bogo," kataku.

"Hah lopeh makan, singgah rumah kau kan?" sambut Pak Itam.

"Kok singgah, bawak-bawaklah dua tigo kotul bogo paneh!" kataku.

Berderai ketawa.

Dalam hatiku berkata-kata, kalaulah adik-adik penjual burger di Rembau tu belajar daripada adik-adik penjual burger di Seremban, tentu Pak Itam ku tak lagi datang ke Paroi Jaya. Dan jaranglah Pak Itam berkunjung ke rumahku.

Tuesday, September 20, 2011

Media Arus Perdana: Sokong Membawa Rebah



Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) semakin hampir. Walaupun tempoh untuk PRU13 masih ada sehingga tahun 2013 tetapi dijangkakan ia akan berlaku pada tahun 2012. Media Arus Perdana yang menyokong Kerajaan Barisan Nasional semakin ghairah memainkan isu-isu yang boleh melemahkan kekuatan parti pembangkang. Paling terkehadapan dalam memainkan isu-isu ini ialah Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian. Media berbahasa Inggeris walaupun ada memainkan isu-isu politik ini tetapi tidaklah seghairah ketiga-tiga media tersebut.

Apa yang dibimbangkan ialah pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO iaitu Presiden dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertingginya akan merasa yakin bahawa tiga media arus perdana ini sudah cukup mampat untuk menawan sokongan pengundi-pengundi Melayu. Dibimbangkan pemimpin-pemimpin ini dibuai lena oleh keyakinan ini dan 'syok sendiri' bahawa media arus perdana ini sudah berjaya memainkan peranannya.

Sedangkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.

Pertama sekali adalah satu tafsiran yang salah bahawa media arus perdana boleh mempengaruhi undi majoriti. Jika benar, maka perhatikan PRU12 pada tahun 2008, bukankah media arus perdana telah bemati-matian mempermainkan pelbagai isu dengan matlamat mempengaruhi pengundi agar menyokong Barisan Nasional. Apa kesudahannya? BN hilang majoriti dua pertiga dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Di mana pengaruh media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian dalam mempengaruhi pengundi Melayu.

Kedua, jumlah edaran yang tinggi bagi sesebuah akhbar bukan ukuran bahawa akhbar itu boleh mempengaruhi pendirian pengundi. Pembaca membeli Utusan Malaysia, misalnya, bukan hendak membaca cerita-cerita politik tetapi mungkin kerana berita dan gosip-gosip dunia hiburan yang memang Kumpulan Utusan terkenal tentang itu. Begitu juga yang membeli Berita Harian mungkin kerana laporan sukannya yang memang menjadi kekuatan akhbar itu. Atau, penonton menonton Buletin Utama TV3 bukan nak tengok apa Perdana Menteri kata atau isu politik yang digembar-gemburkan. Penonton mungkin menonton Buletin Utama untuk cerita-cerita jenayah, human interest, berita luar negara atau bagaimana gol Arsenal disumbatkan oleh penyerangnya. Inilah sebab yang melonjakkan jumlah edaran akhbar atau jumlah penonton berita TV.

Ketiga, bukan semua orang percaya apa yang dilaporkan oleh akhbar atau disiarkan oleh TV3. Ini adalah kerana ketiga-tiga media arus perdana ini telah mula terhakis kredibilitinya mulai daripada kes Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Sejak itu sedikit demi sedikit kepercayaan kepada laporan-laporan ini mulai terhakis. Paling menjunam ialah kredibiliti Utusan Malaysia. Ini adalah kerana terlalu kerapnya isu-isu berbau politik yang dimainkan tanpa bukti kukuh. Utusan akan memainkan di muka depan cerita-cerita tentang liwat Anwar Ibrahim, kemurkaan Sultan kepada pemimpin pembangkang, 'kekurangajaran' pemimpin atau NGO bukan Melayu dalam isu-isu yang kena mengena dengan orang Melayu, skandal-skandal seks yang disandarkan kepada pemimpin pembangkang, rasuah dalam kepimpinan pembangkang, perselisihan dalam parti-parti pembangkang dan pelbagai lagi cerita-cerita yang dibesar-besarkan dimuka hadapan. Ini menjadikan pembaca menjadi lali dengan laporan-laporan seumpama itu sehingga sampai peringkat MELUAT membaca laporan-laporan berkenaan. Kesannya, laporan seperti ini diketepikan dan mereka beralih kepada halaman-halaman hiburan atau artikel-artikel 'human interest'.

Keempat, akhbar menggunakan tokoh-tokoh yang tidak ada kredibiliti untuk menyokong isu-isu yang mereka permainkan. Sedangkan tokoh-tokoh ini sudah tidak lagi dipercayai oleh pembaca. Contohnya ialah Ibrahim Ali dari PERKASA yang hampir seluruh pengundi di Malaysia tahu siapa dia dan pendirian politiknya. Tokoh ini sudah hilang kredibilitinya. Hairan sungguh bagaimana boleh Pengarang-pengarang akhbar yang bijak pandai boleh tak tahu tentang soal-soal kredibiliti ini. Aneh!

Kelima, Pengarang-pengarang akhbar dan Pengurus-pengurus berita TV sudah tidak lagi berpegang kepada prinsip kewartawanan. Mereka sudah tidak lagi menjadi cerdik pandai media yang menjadi tokoh yang dihormati oleh masyarakat. Mereka bukan lagi wartawan yang dilihat sebagai intelek yang mempunyai pendirian dan berpegang teguh kepada kebenaran. Mereka tidak dapat menjadi seperti A.Kadir Jasin, Johan Jaafar, Rejal Arbee, Mazlan Nordin, Chamil Wariya atau M.Noor Azam. Walaupun nama-nama ini adalah rata-ratanya penyokong Kerajaan BN tetapi mereka masih ada prinsip kewartawanan. Di zaman mereka kredibiliti kewartawanan masih utuh. Di zaman mereka Menteri dan timbalannya boleh meletak jawatan kerana serangan tulisan mereka. Di zaman mereka ketua-ketua jabatan di kementerian boleh bertukar 24 jam kerana pendedahan oleh akhbar. Mereka tidak menjadi 'mercenaries' seperti pengarang-pengarang yang sedang berkuasa sekarang ini!

Inilah realiti media-media arus perdana yang menjadi penyokong BN dewasa ini. Amat diyakini bahawa pengarang-pengarang ini sentiasa memberikan laporan kepada 'Political Master' mereka bahawa laporan-laporan mereka telah berjaya mempengaruhi orangramai. Mereka berdalil kepada jumlah edaran akhbar mereka yang tinggi atau 'rating' siaran berita mereka yang mencecah jutaan penonton.

Sekiranya pemimpin-pemimpin tertinggi dalam UMNO atau BN terus percaya kepada semua omongan ini, maka tunggulah padahnya nanti. Harapkan sokong, sokong membawa rebah!

Monday, September 19, 2011

Hantu Melayu Oh Hantu Melayu

INILAH zamannya cerita hantu menjadi-jadi. Filem-filem hantu mengalahkan Hantu Jerangkung, Hantu Kubur dan Sumpah Orang Minyak terbitan Shaw Brothers di tahun-tahun 50-an. Mengalahkan Pontianak dan Dendam Orang Minyak terbitan Cathay Kris Film. Kisah-kisah hantu sekarang ini penuh dengan pelbagai 'special effect' dan 'computer generated image' yang menewaskan hantu-hantu zaman hitam putih. Memang benarlah kata orang, hantu-hantu dalam filem sekarang ini amat menakutkan sehinggakan hantu sebenar pun naik takut melihatnya.

Tapi sayang filem Melayu tetap filem Melayu. Buat cerita hantu pun tak cukup 'research', main hentam keromo sahaja. Tidak ada penyelidikan mendalam tentang hantu Melayu yang sebenarnya. Penerbit main tangkap muat sahaja cerita-cerita hantu itu kerana tergesa-gesa nak kaut keuntungan sementara penonton sedang ghairah tonton cerita hantu. Maka itu amat kurang nilai seni di dalamnya.

Yang menjadikan cerita hantu sebagai cerita komidi pun tak ramai yang berjaya. Setakat ini hanya 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' sahaja yang berjaya bertahan sebagai sebuah cerita hantu komidi yang penuh dengan mesej dan sindiran masyarakat. Penerbit lain cuba juga nak buat komidi hantu tapi tak berjaya. Ada unsur-unsur komidi tapi tak dapat bertahan sepanjang 90 minit filem itu. Akhir-akhirnya cerita menjadi hambar dan penonton keluar panggung bermuka kecewa.

Cerita hantu serius pulak semuanya menjadi 'stereotype'. Semua tentang kisah hantu kembali untuk membalas dendam atau untuk menceritakan kebenaran sesuatu kejadian (biasanya kisah bagaimana dia dibunuh). Hantu pula muncul terlalu kerap sehinggakan menghilangkan rasa seram penonton. Kemunculan hantu itu pulak sudah boleh diduga. Setiap dugaan itu tepat penonton ketawa beramai-ramai -- macam pesta teka meneka.

Muka hantu pulak lazimnya dibubuh bedak banyak-banyak. Lipstik ada yang pucat warna biru ke atau coklat. Kalau nak gambarkan darah, diwarnakan merah semerahnya. Ini semua make up yang sudah 'mangli' bagi penonton. Tidak ada rasa takut lagi. Apatah lagi jalan cerita mula merepek-repek, berdialog dengan hantulah, berbual dengan hantulah, buat 'deal' dengan hantulah. Cerita dah jadi tak tentu arah.

Yang 'best'nya bila sampai babak Tok Dukun atau Bomoh atau 'Ustaz' datang mengubat. Seperti biasa shot asap kemenyan berkepul-kepul mesti ada, bacaan ayat Quran yang lengkap dengan tajwid dan taranumnya bergema-gema dalam panggung dan macam-macam lagi adegan yang dah biasa kita tengok sejak zaman wayang hitam putih.

Begitulah cerita hantu Melayu dizaman serba moden ini. Inilah yang dibangga-banggakan oleh karyawan filem kita hari ini. Tak ramai yang mengambil perbandingan dengan filem-filem Hollywood yang menerbitkan cerita-cerita hantu yang lengkap dan mendalam 'research'nya. Mereka menerbitkan filem-filem yang 'base on true story' atau petikan daripada cerita-cerita dari gereja. Mereka mengolah cerita-cerita itu berdasarkan kepada amalan-amalan dan kepercayaan dalam agama Kristian. Begitu mantap susunan skripnya sehinggakan kita kagum akan apa yang kononnya wujud dalam 'Bible'!

Sedangkan kita orang Melayu yang beragama Islam lebih mengetahui dan lebih terarah dalam kepercayaan alam ghaib. Kita ada 'Surah Jin' dalam al-Quran yang memperkatakan alam ghaib ini dan kita ada banyak hadis-hadis Nabi dan sirah yang memperkatakan tentang alam Jin dan Syaitan. Kita ada tulisan kitab-kitab ulama silam yang memperkatakan tentang tipu muslihat Jin dan Syaitan. Jika semua sumber ini digali dan diolah menjadi sebuah cerita yang mantap skripnya, bukan sahaja kita akan berjaya memaparkan satu hasil seni yang dikagumi tetapi akan juga menjadi petunjuk supaya kita tidak hanyut dalam dunia tahyul dan khurafat yang tidak menentu arah.

Cubalah penerbit-penerbit kita yang bijak pandai dan ada yang dah bergelar Dato' itu memikirkan hal ini. Cubalah pengarah-pengarah kita yang berbangsa Melayu dan beragama Islam itu memikirkan hal ini. Dan cubalah pegawai-pegawai kita yang bijak pandai di FINAS dan kementerian-kementerian memikirkan hal ini. Dan akhirnya para alim ulamak, pensyarah-pensyarah ilmu wahyu, ustaz-ustaz, imam-imam muda dan pak-pak lebai pun janganlah lepas tangan buat tak nampak kepada hantu-hantu ini!!

Wednesday, June 1, 2011

Pasar Termahal Di Negeri Sembilan

Pasar Ampangan di Seremban adalah pasar yang paling mahal jualannya di Negeri Sembilan. Dulu orang kata Pasar Rembau yang termahal, tetapi nampaknya PasarAmpangan berjaya merampas kejuaraan itu sejak akhir-akhir ini. Perbandingkan sahaja harga barangan di pasar ini dengan Pasar Besar Seremban, kita akan mendapati harga ikan, udang, sotong dan sayur-sayuran 50 peratus lebih tinggi daripada Pasar Besar. Bukan itu saja, perbandingkan dengan harga barangan ini dengan harga jualan di kedai-kedai runcit Cina di kawasan Ampangan kita akan dapati harga di kedai Cina ini jauh lebih murah daripada Pasar Ampangan. Tak percaya cuba bandingkan.


Mengapa jadi begitu?


Pasar Ampangan dikuasai oleh peniaga-peniaga Melayu yang mencari untung maksima dengan pendirian Melayu akan tolong Melayu. Mereka menyangka dengan memonopoli pasar berkenaan mereka boleh menetapkan harga sesuka hati tanpa mengikut sentimen pasaran.

Cina tak boleh tipu Melayu tapi kalau Melayu tipu Melayu tak apa -- itu tolong bangsa namanya!

Sunday, October 11, 2009

POLITIK NEGERI SEMBILAN AKAN BERGOLAK

Untuk pertama kalinya selepas beberapa tahun, Pak Lang cukup seronok mendengar berita Tan Sri Isa Samad menang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bukan Pak Lang seronok sebab Pak Lang penyokong Isa tetapi kerana Pak Lang jangkakan politik UMNO di Negeri Sembilan akan mula bergolak kencang. Memang Pak Lang harapkan Tan Sri Isa menang, kerana Pak Lang nak tengok apakah akan terjadi dalam politik UMNO di Negeri Sembilan dengan kemenangan Tan Sri Isa.

PAS dan Pakatan Rakyat jangan berhiba atas kekalahan di Bagan Pinang ini. Percayalah ada hikmahnya atas kekalahan itu. Bawa-bawa bertenang dan ikutilah perkembangan politik Negeri Sembilan seterusnya.

Kemenangan Bagan Pinang bukan kemenangan BN keseluruhannya, tetapi adalah kemenangan Tan Sri Isa secara peribadi. Jentera pilihanraya UMNO Bahagian Bagan Pinang bersatu padu, bekerja kuat untuk kemenangan Tan Sri Isa. Kemenangan itu telah diduga sedari awal lagi dan penyokong setia Tan Sri Isa di seluruh Negeri Sembilan benar-benar mengharapkan Isa menang. Dengan kemenangan ini mereka pun berkata, “Sekarang baru bertemu buku dengan ruas!”

Apa maksudnya itu?

Maksudnya, dengan kembalinya Tan Sri Isa ke persada politik Negeri Sembilan, yang tercabar adalah Dato’ Seri Mohamad Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Rata-ratanya semua orang UMNO di Negeri Sembilan tahu akan sensitifnya hubungan antara dua tokoh ini. Lima tahun lamanya Dato’ Mohamad Hassan yang dibantu oleh abangnys Dato’ Azman cuba melenyapkan pengaruh Tan Sri Isa dalam politik Negeri Sembilan namun gagal. Walaupun ditolong oleh penggantungan keahlian Tan Sri Isa selama tiga tahun, namun pengaruh Tan Sri Isa gagal di lenyapkan. Dalam pilihanraya 2008 semua penyokong-penyokong kuat Tan Sri Isa digugurkan oleh Dato’ Mohamad Hasssan daripada bertanding, namun itu juga gagal memadamkan pengaruh Tan Sri Isa.

Sekarang Tan Sri Isa kembali! Apa yang akan berlaku seterusnya tentunya amat menarik. Pelbagai persoalan perlu jawapan. Kepulangan Tan Sri Isa akan menyatukan UMNO Negeri Sembilan atau akan semakin berpecah? UMNO Bahagian Seremban sokong siapa? Dato’ Azman dan Dato’ Ghani memainkan peranan apa? Berapa ramai ADUN UMNO yang tetap taat setia kepada Dato’ Mohamad Hassan? Betul ke ada ura-ura untuk undi tidak percaya terhadap MB sekarang ini?

-- Pak Lang ahli lama UMNO tapi tak sokong mana-mana pihak.

Friday, January 23, 2009

UMNO: Jalan ke kubur?

UMNO tidak akan berkubur! PAS juga tidak akan berkubur. Kedua-duanya adalah parti politik orang Melayu, yang tanpa disedari, memerlukan kewujudan satu sama lain demi untuk ‘survival’ masing-masing. Tanpa kehadiran PAS, UMNO akan menjadi bingung siapa yang hendak dilawan dan dipersalahkan. Begitu juga tanpa kehadiran UMNO, PAS akan kehilangan modal untuk menyemarakkan perjuangan mereka.

Selagi ada orang Melayu yang mencari wadah perjuangan berteraskan bangsa, selagi itu PAS dan UMNO akan wujud. Cumanya, siapa yang lebih kukuh atau kuat, strategi dan keterampilan pemimpin yang akan menentukan.

Pada masa ini semua orang berkata UMNO kian lemah dan semakin ditinggalkan oleh orang Melayu. Ada benarnya andaian itu. Tetapi itu bukan bermakna UMNO akan berkubur! Sekiranya sekali lagi UMNO kalah teruk dalam Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, percayalah UMNO tidak juga akan berkubur. Walaupun menjadi pembangkang UMNO akan tetap hidup walaupun ‘bernyawa-nyawa ikan’. Patah sayap bertongkat paruh, patuh paruh bertongkat dagu, namun UMNO akan terus hidup.

Apabila UMNO ‘bernyawa-nyawa ikan’, apakah PAS akan kuat? Mengikut hukum akal, tentu sekali PAS akan kuat. Tetapi percayalah PAS tidak akan sekuat mana. Paling tinggi PAS akan menguasai 40 atau 50 kerusi Parlimen. Tidak lebih daripada itu. Ahli PAS juga tidak akan mendadak bertambah. Begitu juga UMNO yang lemah itu tidak akan menyaksikan ahli-ahlinya keluar parti beramai-ramai. Tiada siapa yang akan tahu apakah masih ada lagi ahli dalam UMNO atau sebaliknya. Tidak ada yang mebayar yuran tetapi tidak pula ada yang hantar surat keluar parti. Semuanya membisu.

Apa yang berlaku ialah majoriti orang Melayu akan mengambil sikap berdiam diri, tunggu dan lihat…

Thursday, April 17, 2008

P131 REMBAU


P131 REMBAU adalah antara kawasan Parlimen yang menjadi tarikan utama pada Pilihanraya Umum Ke 12 (PRU12) baru lalu. Kawasan yang mempunyai 62,896 pengundi berdaftar ini menjadi tarikan kerana di situ bertanding Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri.

Parlimen Rembau ditarafkan sebagai kawasan selamat untuk Barisan Nasional dengan diperkukuhkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mohamad Haji Hasan, sebagai Ketua Bahagian UMNO Rembau. Dalam pilihanraya umum 2004 Parlimen Rembau di menangi oleh Datuk Firdaus Muhammad dari BN dengan majoriti besar 18,656.

Kawasan yang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri: Paroi, Chembong, Rantau dan Kota, mempunyai 43,335 pengundi Melayu, 9,560 Cina dan 9,937 India.

Pada hari penamaan calon 24 Februari 2008, tiga muka lama UMNO digugurkan daripada bertanding iaitu Dato’ Rais Zainuddin (Chembong), Bibi Sharliza Khalid (Paroi) dan Datuk Firdaus Muhammad (Parlimen Rembau). Dato’ Rais adalah EXCO Negeri yang lalu dan merupakan satu-satunya penentang Dato’ Muhamad Hj Hasan dalam UMNO Bahagian Rembau.

Kemunculan Khairy sebagai calon Parlimen Rembau memang telah diduga dari awal. Pastinya berada dalam kawasan Menteri Besar, Khairy merasakan begitu selamat dan dengan rekod majoriti 18,656 pada tahun 2004, memenangi kerusi Rembau adalah perkara mudah!

Lawan Khairy ialah Badrul Hisham Shaharin, ahli Kerja Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Seorang bekas guru lepasan Maktab Raja Melewar, Seremban, beliau juga dikenali sebagai seorang ‘blogger’ dan tokoh demonstrasi jalanan. Oleh itu berhadapan dengan kempen yang kasar dan ganas bukan perkara baru bagi Cikgu Bad.

Dengan senario sedemikian rupa tidak ada siapa yang dapat menafikan Khairy akan menang mudah.

Menjelang hari mengundi 8 Mac 2008, desas desus mulai tersebar di kalangan penduduk Rembau bahawa Khairy tidak akan menang semudah itu. Kalangan UMNO dari DUN Paroi sendiri memberikan laporan yang Khairy mendapat persepsi negatif di kalangan pengundi DUN Paroi termasuk pengundi bukan Melayu. Pengundi kawasan Paroi terutamanya mulai yakin akan khabar yang dibawa pulang oleh anak-anak muda dari Lembah Kelang bahawa Khairy seorang yang angkuh dan rakuskan kuasa. Persepsi ini tersebar begitu pantas dan dipergunakan oleh PKR dan PAS semahu-mahunya.

Pada malam pengiraan undi ternyata desas-desus Khairy tak akan menang mudah ternyata benar. Walaupun menang Khairy tidak dapat meraih majoriti seperti 2004 malah majoritinya jauh merudum dari 18,656 kepada 5,746. Walaupun sehebat manapun nama Khairy Jamaluddin itu namun di Rembau sekurang-kurangnya ada 20,779 yang tidak menyokongnya.

Merosotnya undi untuk Khairy ini turut membawa padah kepada Dato’ Zaharuddin Sharif, calon BN bagi DUN Paroi. Beliau bekas ADUN Kota, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar dan juga bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan dikenali ramai oleh pengundi Paroi. Dengan reputasi ini pun beliau boleh tewas ditangan Ketua Pemuda PAS Negeri. Beliau memang tidak bernasib baik kali ini. Bukan salah dia. Kerana marahkan Khairy pengundi Paroi menolak sama Dato’ Zaharuddin.

Dengan apa yang berlaku di peringkat nasional dan ditambah dengan wujudnya Khairy di Bahagian Rembau, maka menjadi tanda tanya kini apakah politik orang Rembau akan berubah? Dato’ Mohamad Hasan juga akan tertanya-tanya mengapa agaknya Rembau tidak sekukuh yang disangka?

Wednesday, April 16, 2008

PERCATURAN POLITIK NEGERI SEMBILAN BERUBAH

Pilihanraya Umum Ke 12 (PRU12) sudah lebih sebulan berlalu. Seperti juga di seluruh negara, di Negeri Sembilan kesan daripada pilihanraya itu masih hangat diperkatakan. Disamping isu-isu nasional, isu tempatan tetap menjadi topik panas yang terus diperdebatkan.

Sebanyak 350,831 pengundi Negeri Sembilan keluar mengundi pada 8 Mac 2008. Daripada jumlah itu kira-kira 186,681 memberikan undi mereka kepada Barisan Nasional manakala bakinya 154,430 memangkah pembangkang. Dan ada kira-kira 9,720 pengundi yang merosakkan undi mereka (entah mengapa). Ini bermakna 53.2 peratus pengundi di Negeri Sembilan masih menyokong BN manakala pembangkang memperolehi 44.01 peratus undian.

BN Negeri Sembilan menguasai lima kerusi parlimen dan terlepas tiga kepada pembangkang iaitu dua kepada DAP dan satu kepada PKR. Manakala kerusi Dewan Undangan Negeri pula 21 dimenangi BN dan 15 dikuasai pembangkang yang membolehkan BN menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah.

Dengan keputusan ini maka tercatatlah sejarah di Negeri Sembilan pertama kali sejak merdeka, BN (dulunya Perikatan) memerintah tanpa majoriti dua pertiga. Tercacat juga dalam sejarah pertama kali Dewan Undangan Negeri mempunyai ahli pembangkang yang paling ramai iaitu 15 orang ahli Yang Berhormat. Tercatat juga dalam sejarah pertama kali parti pembangkang tertua, PAS, berjaya menghantar wakil Yang Berhormat ke Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.

Di pandang dari sudut kepemimpinan, keputusan PRU12 ini mencerminkan prestasi Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan (Tok Mat). Inilah repot kad beliau sejak menerajui Negeri Sembilan bermula 2004. Keputusan ini adalah tanggungjawabnya sendiri dan tidak boleh lagi disandarkan kepada orang lain seperti tahun 2004. Pada PRU11 masih boleh dikatakan bahawa itu adalah senarai calon dan strategi kempen yang dibuat oleh Tan Sri Isa Samad, Menteri Besar ketika itu.

Pada 2008 keseluruhan tanggungjawab dipikul oleh Tok Mat Hasan termasuk soal pemilihan calon, penentuan kawasan, strategi kempen dan prestasi pemerintahan.

Sejak 2004 sehinggalah Februari 2008 banyak yang membuat andaian Negeri Sembilan adalah negeri yang selamat untuk BN memandangkan daripada 36 kawasan DUN hanya 2 yang dimenangi oleh DAP pada 2004. Parti pembangkang Melayu tidak pernah kelihatan kelibatnya di Dewan Undangan Negeri. UMNO tidak pernah kalah di mana-mana kawasan pun di Negeri Sembilan. Sehinggakan menjadi senda gurau orang politik di Negeri Sembilan ‘letak berok di lambang dacing di Negeri Sembilan pun boleh menang’. Begitulah hebatnya kubu kuat UMNO di Negeri Sembilan.

Tetapi dalam pilihanraya 2008, kekebalan UMNO di Negeri Sembilan akhirnya bocor. Tiga kawasan selamat UMNO jatuh ke tangan PKR dan PAS iaitu DUN Ampangan, Sikamat dan Paroi. Manakala di semua DUN yang dimenangi UMNO kecuali Sri Menanti dan Gemas menampakkan kemerosotan majoriti yang dimenangi. Sementara 3 kawasan DUN menunjukkan majoriti semakin menipis iaitu Lenggeng, Labu dan Linggi.

Kekalahan yang paling memalukan UMNO Negeri Sembilan ialah DUN Paroi yang jatuh kepada PAS. DUN Paroi terletak dalam Parlimen Rembau sedangkan Tok Mat Hasan sendiri adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau. Walaupun Tok Mat meletakkan orang kanannya yang berpengalaman, Dato’ Zaharuddin Sharif bertanding di situ dan dibantu oleh jentera kempen pilihanraya Khairy Jamaluddin, namun kerusi Paroi terlepas juga ke tangan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Ini adalah satu tamparan kepada Tok Mat Hasan kerana kebocoran berlaku di kawasannya sendiri. Lebih memeritkan lagi ialah di DUN Rantau yang ditandingi oleh Tok Mat Hasan, beliau sendiri menang dengan majoriti yang banyak merosot. Daripada 6,842 pada 2004 kepada 3,783 pada tahun ini. Sedangkan lawannya hanyalah seorang wanita yang tidak dikenali dari Parti Keadilan Rakyat. Pada awalnya ramai yang menyangka calon PKR itu, Aisah Lamsah, akan kalah teruk atau hilang deposit melawan Menteri Besar tetapi tidak disangka-sangka tentangannya hebat sekali.

Kini, Tok Mat dengan barisan ADUN pilihannya (termasuk 2 ADUN MCA dan MIC) akan benar-benar beraksi di Dewan Undangan Negeri. Dulu hanya Loke Siew Fook sahaja yang bersuara membangkang tetapi kali ini ada 15 orang yang akan bersuara. Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan tidak akan sepi seperti dahulu. Dan suasana politik di Negeri Sembilan pun akan bertambah ceria.

Bagi Tok Mat Hasan, seperti kata orang putih, ‘honeymoon period is over’.



Tuesday, March 25, 2008

KEBENARAN DAN KEBATILAN

Semua orang mencari kebenaran. Namun kebenaran datang dalam pelbagai wajah. Lalu terjadilah kebatilan yang disangka benar manakala kebenaran pula disangka palsu. Dalam timbunan beranika maklumat inilah lantas berbaur kebatilan dengan kebenaran. Setiap insan berhak memilih dan menapis yang mana benar dan yang mana batil. Lalu Tuhan bekalkan akal untuk insan meneliti, menghalusi mencari kebenaran hakiki. Jangan diketepikan fungsi akal ini!