SATU daripada penyebab kekalahan Barisan Nasional pada
Pilihanraya Umum (PRU) 2008 adalah berleluasanya penggunaan media baru
(internet). Melalui internet pengundi terutamanya pengundi muda (40 tahun ke
bawah) memperolehi maklumat perkembangan politik sekaligus mempengaruhi mereka
dalam membuat keputusan siapa hendak diundi.
Pemimpin-pemimpin BN selepas PRU itu mulai sedar akan
pengaruh media baru ini kepada pengundi. Namun ramai juga yang tidak
mempercayainya seperti bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin. Pengulas dan penganalisa politik bebas juga
tegas mengatakan bahawa media baru memberi sumbangan yang besar kepada corak
pengundian pada PRU2008 itu.
Maka itu pemimpin-pemimpin tertinggi BN khususnya UMNO
mengarahkan supaya tumpuan diberikan untuk memasuki dan menguasai media baru
ini. Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat digalakkan berinteraksi melalui
internet sama ada melalui laman-laman Facebook atau Blog. Bekas Perdana
Menteri, Dr Mahathir sendiri ketika itu mempunyai blog yang antara tertinggi
dilayari di negara ini.
Tidak cukup itu UMNO juga menubuhkan unit-unit khusus untuk
mewujudkan gerila-gerila cyber yang mengendalikan blog-blog pro-UMNO.
Gerila-gerila ini dibayar, ditaja dan diupah untuk mengendalikan blog. Mereka
diarahkan melakukan apa saja yang perlu bagi mempertahankan UMNO. Lantas itu
bermulalah ‘perang cyber’ yang amat sengit sejak 2008 sehinggalah menjelang
PRU2013.
Lahirlah beratus-ratus (atau mungkin beribu-ribu) jumlah
blog-blog pro-UMNO yang tugas mereka adalah menyerang blog-blog yang
dikendalikan oleh penyokong-penyokong pembangkang atau Pakatan Rakyat. Tidak
dapat dinafikan bahawa sebahagian besar daripada blog-blog pro-UMNO ini adalah
dibayar atau diupah. Tidak ada undang-undang atau peraturan yang mengawal
mereka. Mereka bebas melakukan apa saja.
Dengan kuasa wang, ternyata jumlah blog-blog pro-UMNO ini
tiada tandingannya. Mereka berada di mana-mana sahaja di alam cyber. Dari segi
jumlah jelas sekali mereka memenangi ‘peperangan ini’. Tetapi dari segi
matlamat belum tentu lagi mereka yang menang.
Penulisan blog, portal, facebook atau apa saja panggilannya
adalah sama matlamatnya iaitu memberi maklumat dan mempengaruhi minda
pembacanya. Sebagaimana media-media konvensional seperti akhbar dan televisyen,
yang penting ialah menarik minat pembaca untuk membacanya dan penonton untuk
menontonnya.
Sayang sekali blog-blog pro-UMNO yang begitu banyak ini
gagal mencapai matlamatnya. Mereka dibayar untuk menyerang lalu mereka
menyerang dengan apa cara yang mereka tahu. Mereka memaki hamun, mecarut-carut
tak tentu pasal dan berkelahi macam budak-budak kalah main guli. Mereka
menjadikan topik-topik lucah sebagai bahan untuk mencerca lawannya tak ubahnya
seperti pelacur-palacur yang berkelahi sesama sendiri merebut pelanggan di lorong-lorong
gelap.
Menyiarkan visual-visual lucah yang dikait-kaitkan dengan
pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi agenda yang paling glamour di kalangan
mereka. Diperingkat awal visual-visual ini disiarkan ramai yang tertarik dan
mempercayainya. Tetapi apabila sudah terlalu kerap ia ditayangkan
pengunjung-pengunjung alam cyber mulai jemu, mulai meluat, menyampah dan
akhirnya mengenepikan visual-visual itu begitu sahaja. Sekaligus ‘kredibiliti’
blog-blog ini jatuh berkecai. Blog mereka akhirnya hanya dikunjungi oleh
mat-mat rempit yang mencari hiburan-hiburan murah dan suka membaca carut marut
si blogger.
Ada
juga blog-blog penyokong pembangkang yang terikut-ikut dengan keletah blog-blog
pro-UMNO ini. Mereka juga menerima nasib yang sama – hilang kredibiliti. Cuma
jumlah mereka agak kurang kerana tiada siapa yang memberi upah berbanding yang
pro-UMNO.
Tercapaikah matlamat blog-blog pro-UMNO ini? Jawabnya tidak!
Pengundi atau pun bakal pengundi yang melayari internet
adalah mereka yang celik akal. Mereka sekurang-kurangnya berpendidikan SPM dan
ramai yang berdiploma atau berijazah. Atau mereka adalah anak muda yang
bertamadun dan mengerti apa itu akhlak serta dapat membezakan antara yang benar
dan yang salah. Pendek kata mereka adalah kalangan yang berfikir.
Mereka ini melayari alam internet untuk mencari bahan-bahan
dan maklumat-maklumat politik yang tidak diperolehi di dalam media-media arus
perdana.Mereka ingin mencari maklumat yang tepat dari kacamata sebelah sana (pembangkang). Tidak
semestinya mereka ini penyokong pembangkang, tetapi mereka adalah pencari fakta
daripada kedua-dua belah pihak untuk dijadikan hujah bagi mereka membuat
keputusan. Media arus perdana tidak dapat memberikan keseimbangan maklumat
kedua-dua pihak. Media arusperdana berat sebelah.
Di alam cyber pengundi-pengundi bertamadun ini juga tahu
memilih antara blog atau portal yang seimbang atau boleh dipercayai. Mereka
mengkesampingkan blog-blog yang penuh dengan maki hamun dan sumpah seranah.
Mereka mencari blog dan portal yang berhujah dengan fakta yang baik dan
mempunyai kredibiliti. Jika mereka membaca tulisan-tulisan A.Kadir Jasin
misalnya, mereka juga membaca tulisan-tulisan Aspan Alias atau Sayuti Omar.
Mereka tahu A.Kadir Jasin penyokong kerajaan dan mereka juga tahu Aspan adalah
ahli DAP. Namun mereka menghormati pendapat kedua-duanya.
Dan, bagi blog-blog yang penuh dengan sumpah seranah dan
maki hamun, tinggallah mereka dengan peminat-peminat mereka yang ‘eksklusif’!!