Saturday, October 8, 2011

Seronoknya jadi BOMOH



BEBERAPA tahun lalu, ketika Pak Lang hendak bersara, seorang anak buah Pak Lang yang berpangkat Pengurus Pemasaran bertanya;

"Boss...boss! bila pencen nanti Boss nak buat apa?"


"Tak tahulah... rasa-rasanya nak jadi petani!" jawab Pak Lang, jujur.
"Jangan jadi petani Boss, saya cadangkan Boss jadi bomoh!" katanya sambil tersengeh.
"Bomoh? Apa yang aku boleh ubat?" jawab Pak Lang separuh terkejut.
"Alaah.... bomoh boleh ubat apa penyakit pun dalam dunia ini. Boss tak perlu susah-susah cari ijazah. Tak payah susah-susah hafal apa-apa ayat pun. Janji pandai cakap dan berimajinasi tinggi, pasti Boss jadi bomoh yang handal," katanya.

Pak Lang memandangnya dengan agak serius.
"Betul Boss, cuba Boss fikir-fikirkan. Bomoh sekarang ni cakap apa pun orang percaya. Tak payah nak buktikan apa-apa pun secara saintifik. Tak payah nak bukak buku-buku tebal atau kitab-kitab. Janji Boss pandai buat cerita-cerita yang pelek-pelek. Buat cerita-cerita seram sikit. Lepas tu cakap pasal Hantu Raya ke, Pelesit ke, Saka ke, Orang Bunian ke atau cipta aje nama-nama hantu yang pelek-pelek. Hantu-hantu ni punca penyakit. Semua orang mesti percaya!" kata anak buah Pak Lang yang berbadan montel itu.

"Jadi orang marketing macam saya ni pun orang kurang percaya. Tunjuklah macam-macam perangkaan atau bukti-bukti jelas, masih orang tak percaya cakap saya. Tapi... kalau bomoh yang cakap... mereka cepat percaya. Bagi duit lagi..... apa macam Boss?" sambungnya lagi.

Dia tersenyum lebar sambil menghulurkan tangan bersalaman dan berlalu pergi. Pak Lang membalas senyum tetapi masih termangu-mangu mendengar cadangannya itu.

"Betul jugak cakap budak ni!" kata hati Pak Lang.
Apa tidaknya. Zaman ini di mana cerita-cerita hantu, tahyul mahyul sedang bermaharajalela di kaca TV dan panggung-panggung wayang, majoriti orang Melayu mempercayai kisah-kisah ghaib ini. Semua penyakit dikaitkan dengan kisah-kisah hantu dan makhluk halus. Walaupun rata-ratanya orang Melayu sekarang dah berpelajaran tinggi (sekurang-kurangnya sampai peringkat SPM) namun kisah-kisah tahyul ini cepat sahaja dipercayai.

Sifirnya senang sahaja. Hantu dan makhluk halus hanya boleh ditentang oleh bomoh! Maka itu 'profession perbomohan' semakin melonjak dan berkembang seluas-luasnya. Nak jadi bomoh tak payah minta lesen macam nak jadi doktor. Tak payah buat 'housemanship' atau 'chambering' macam nak jadi peguam. Nak jadi bomoh tak payah pergi universiti tiga empat tahun. Tak payah susah payah nak cukupkan 'credit hours'. Nak jadi Bomoh tak payah minta permit niaga. Nak jadi bomoh tak payah nak dapatkan tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor atau Majlis Agama Islam negeri-negeri. Tak payah nak minta kebenaran JAKIM. Tak payah nak minta cop halal. Semua tak payah. Siapa-siapa pun boleh jadi bomoh. Budak umur lapan tahun pun boleh jadi bomoh.

Untuk lebih meyakinkan orangramai Melayu, tukar sikit nama profession tu. Jangan panggil bomoh, panggil USTAZ! Sekarang ini semua bomoh dikenali sebagai Ustaz. Mereka tak mengaku menjadi bomoh, dukun atau pawang. Tetapi kalau dipanggil ustaz, mereka tersenyum lebar sambil mengangguk-ngangguk. Eh...siapa tak nak dipanggil ustaz. Tak payah pergi Universiti Azhar di Mesir atau universiti-universiti di Jordan, Yaman, Saudi Arabia atau Universiti Islam Antarabangsa, sudah dapat title Ustaz. Boleh ubat orang lagi, macam doktor!

Penampilan diri pun kena nampak warak sikit. Pakai kopiah putih, baju putih, dahi ada tanda hitam sikit (macam orang terlampau banyak sujud), dalam poket sentiasa ada tasbih, cincin bermata hijau atau hitam di jari tangan kiri kanan dan mulut selalu komat kamit macam orang berbisik tetapi sesekali terdengar bunyi "Lailahaillallah" atau "MasyaAllah" atau "bunyi macam ayat Quran tapi tak tentu ayat apa". Bila duduk nampak santun tetapi sekali sekala merenung di beberapa penjuru rumah macam kononnya nampak makhluk ghaib.

Mengubat orang pun bukan susah sangat, mula-mula perhatikan keadaan orang yang sakit tu. Masa orang tu becerita tentang sakitnya atau masalahnya, masa itu otak kena cepat memikirkan jalan cerita yang hendak dimulakan. Cerita yang paling senang sekali ialah 'terkena buatan orang'. Dialog lebih kurang macam ni: "Ada orang yang sakit hati ni... saja dia nak bagi susah. Orang tu pun bukan orang lain, dekat-dekat rumah aje...." Bila kelihatan si pesakit atau warisnya agak terkejut, boleh disambung lagi dialog tu: "Tak payahlah saya cakap siapa, kita ubat ajelah...InsyaAllah boleh elok. Cuma, orang ni keras sikit ilmunya. Dia pakai jin kafir. Makan masa juga nak halau jin tu. Tapi tak apa, dalam tiga kali Jumaat, larilah dia tu..." Mendengar kan ini tentulah si pesakit atau warisnya rasa lega. Lepas itu apa saja yang disuruh bomoh tu akan dilaksanakan tanpa soal jawab.

Nanti semasa pesakit nak balik dia atau warisnya akan bertanya, "Berapa pengerasnya Ustaz?"

Masa ni kena pandai jawab yang meyakinkan. Paling afdal jawab macam ni: "Eh.. saya ni ikhlas mengubat, tak minta apa-apa bayaran pun. Berapa nak bagi saya terima, tak bagi pun tak apa, saya tak mengumpat. Saya cuma harapkan penyakit tu akan sembuh. Alhamdulillah." Jawapan macam ni cukup meyakinkan yang bomoh tu seorang yang 'ikhlas' dan 'berada di jalan benar'. Lapang dada si pesakit dan warisnya. Dengan jawapan begini dia tidak akan teragak-agak nak bagi dua atau tiga puluh ringgit.

Untuk mendapat bonus, Ustaz Bomoh ni bolehlah buat ayat macam ni, "Datang sekali lagi kalau dapat bawa tengkorak tupai jantan mati beragan! Penting tu.... sebab orang yang mengenakan sihir ni bukan calang orang. Kuat jin khadamnya tu." Dengan ini 'confirm' si pesakit atau warisnya atau siapa saja pun tak akan dapat mengadakan tengkorak tupai jantan mati beragan! Maka si pesakit atau warisnya akan berkata: "Tak dapat kami nak cari benda tu Ustaz. Kalau Ustaz boleh, tolonglah kami." Ustaz Bomoh akan berkata, "Memang susah carinya itu, saya pun kena minta tolong kawan-kawan Orang Asli di Ulu Kelantan untuk mencarinya. Kena belanjalah sikit. Dia orang tu pun kena masuk hutan empat lima hari baru dapat." Pesakit atau warisnya akan bertanya: "Berapa agaknya upah suruh dia orang cari tu, Ustaz?" Inilah jawapan bonus daripada Ustaz Bomoh, "Dulu ada orang Jelebu tu, sakit macam ni jugak, dia bayar upah pada Orang Asli tu dalam tujuh ratus ringgit, termasuk belanja tambang menghantar dari Ulu Kelantan ke sini. Saya tak ada apa-apa, saya tolong cakapkan aje kat Orang Asli tu!" Dengan ini, demi atas nama ikhtiar untuk berubat, di pesakit atau warisnya akan bersetuju. Mereka pun bukannya kenal antara tengkorak tupai dengan tengkorak tikus. Apatah lagi tengkorak tupai jantan mati beragan!

Paling menyeronokkan Ustaz Bomoh ialah bila datang dua ibu bapa membawa anak gadisnya yang sakit tak lalu makan tak mahu minum. Gadis bibir nipis berkulit putih kuning, hidung mancung dan berkening lebat itu nampak muram macam orang putus cinta. Ustaz Bomoh dalam hati akan berkata-kata, "Ishhh....cantik budak ni...".

Mari kita bayangkan apa agaknya cerita yang akan dibawa oleh Ustaz Bomoh ni untuk mengubat si putih kuning itu? Agak-agak apa pengerasnya?