Wednesday, September 28, 2011

Warung Tak Laku, salahkan hantu



PAK Boko tersenyum sinis memandang sebuah lagi warung makan didirikan tidak jauh dari warung makan miliknya. Sudah lebih tiga bulan warung miliknya itu beroperasi, menjual nasi lemak, nasi campur, mi goreng, mi hailam, mi sup, mi bandung dan macam-macam mi lagi. Ketika mula-mula dibuka di tapak tepi jalan Taman Springhill, Port Dickson, perniagaan amat laris. Hari pertama tak menang tangan. Pak Boko basah kuyup bermandi peluh membuat teh tarik, Nescafe tarik, Milo tarik, teh O, teh nipis dan macam-macam lagi minuman. Isterinya pula bagai nak pitam goreng pelbagai masakan panas tempahan pelanggan. Dua anaknya, seorang bujang seorang gadis, juga berpeluh-peluh melayani permintaan pelanggan.



Itu cerita hari pertama, minggu pertama. Memang ramai yang datang makan ke warung Pak Boko. Itulah warung pertama di taman perumahan itu. Pada minggu kedua, jumlah pengunjung warungnya mulai berkurang. Masuk minggu ketiga, lagi kurang yang datang. Masuk bulan kedua, jumlah pelanggannya hanya cukup untuk balik modal dan untung sedikit. Namun, Pak Boko tetap berpuas hati kerana masih lagi ada untung untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga. Begitulah seterusnya sehinggalah ke penghujung bulan ketiga.




Tiba-tiba suatu pagi sebuah lori kecil masuk ke kawasan taman perumahan itu dan berhenti agak-agak sepelaung dari warung Pak Boko. Dari lori itu turun kayu-kayu tiang, gelegar dan papan-papan dinding. Beberapa keping zink diturunkan juga berikat dengan dawai. Tak lama lepas itu kelihatan tiga orang tukang mula mendirikan sebuah warung.



Pak Boko berdebar. Terdirinya warung baru itu bermakna dia sudah ada saingan. Apa yang akan dijualnya? Pasti makanan. Apa pun makanan yang dijual pasti akan menjejaskan sedikit sebanyak jualan warung Pak Boko. Ini satu ancaman. Hati Pak Boko mula mendidih. Mahu saja rasanya malam nanti dia pergi membakar warung baru itu. Namun isterinya menasihatinya supaya bersabar.



Beberapa hari kemudian memang apa yang sangat dibimbangkan oleh Pak Boko telah berlaku. Warung baru itu memulakan perniagaannya. Jualannya hampir serupa dengan jualan di warung Pak Boko tetapi ada beberapa kelebihan. Di sebelah pagi warung baru itu ada pula menjual nasi dagang, nasi kerabu dan laksam. Padanlah pun sebab pemiliknya, Mek Ani, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.



Warung Mek Ani dikerumuni oleh pelanggan rata-ratanya penduduk Taman Springhill dan juga pekerja-pekerja sekitar kawasan itu. Hari pertama memang ramai. Minggu pertama tetap ramai. Pak Boko yang sentiasa memerhatikan dari jauh berharap masuk minggu kedua dan seterusnya pelanggan akan berkurang seperti yang berlaku pada warungnya dulu. Tetapi tidak. Minggu kedua seterusnya bulan kedua, warung Mek Ani tetap ramai dikunjungi pelanggan. Masuk bulan kedua begitu juga.



Sementara itu warung Pak Boko semakin tenat. Sejak warung Mek Ani dibuka, pelanggan Pak Boko makin berkurang. Menjelang bulan kedua, perniagaan Pak Boko tidak balik modal. Nasi lemaknya tak laku, lauk pauk untuk tengahari tidak berusik, basi begitu sahaja. Isteri Pak Boko dan dua anaknya duduk termenung, sekali-sekali menguap sambil menunggu pelanggan. Air didih Pak Boko kering menjadi wap begitu saja tanpa ada teh atau Nescafe tarik. Sekiranya keadaan ini berterusan dalam tempoh seminggu dua lagi, Pak Boko tiada pilihan tetapi menutup warungnya. Ini tak boleh jadi, fikir hati Pak Boko.



Pak Boko minta bantuan. Dia menelefon Pak Lang Rembau minta tolong carikan bomoh untuk memulihkan perniagaannya.



"Buat apa cari bomoh?" tanya Pak Lang Rembau kehairanan.

"Warung aku dah kena buatan orang! Ada orang dengki nak curahkan pasir dalam periuk nasi aku. Orang itu hantarkan Hantu Raya kat warung aku supaya pelanggan tak nampak warung aku hanya nampak warung mek Kelantan tu aje," kata Pak Boko bersungguh-sungguh.


"Takkanlah begitu?"sahut Pak Lang.

"Betul Lang, kau tolonglah aku buatkan pendinding ke... atau semah halaukan hantu tu," rayu Pak Boko.

"Yo..lah besok aku datang," jawab Pak Lang Rembau.



Esoknya, seperti dijanji sebelum matahari terpacak di ubun-ubun, Pak Lang dah sampai ke warung Pak Boko. Sebelum masuk ke warung itu, Pak Lang memerhati warung Mek Ani daripada jauh. Memang betul warung Mek Ani tu penuh pelanggan.



Selepas bersalaman Pak Lang duduk di suatu meja. Tiada pelanggan lain di situ kecuali Pak Lang. Pak Boko suruh isterinya buatkan sepinggan mi goreng untuk Pak Lang. Lepas itu mulalah Pak Boko bercerita.



"Aku yakin betul memang mek Kelantan tu hantar Hantu Raya kat warung aku," kata Pak Boko.

"Macam mana kau tahu," tanya Pak Lang.

"Ada satu malam tu anak bujang aku balik dari PD dia ternampak ada kelibat orang lalu lalang kat warung aku. Bila suluh dengan lampu motornya, kelibat tu hilang," cerita Pak Boko bersungguh-sungguh.

"Mungkin budak-budak kaki dadah kot yang cari tempat nak lepak," jawab Pak Lang.

"Eh...betul hantu tu. Ada beberapa orang yang kenal Mek Kelantan tu kata memang mek tu ada menyimpan saka," hujah Pak Boko.

"Eh..saka ke Hantu Raya?" tanya Pak Lang separuh menyindir.

"Tak kiralah....apa pun hantu lah tu,"kata Pak Boko.


"Kau tahu Lang.... sejak warung Mek tu ada, siapa saja yang makan kat warung aku ni mesti tak lalu makan. Mesti tak habis. Mereka makan setengah, berhenti makan, bayar duit terus cabut. Hah... apa maknanya tu. Hantulah yang kacau selera dia orang tu," tambah Pak Boko.



Lama berbual, mi goreng yang dimasak oleh isteri Pak Boko pun sampai. Kebetulan Pak Lang memang dah lapar. Belum sempat dipelawa, Pak Lang dah capai sudu dan garpu, mula menyuap. Masuk suapan yang kedua, Pak Lang mula terhenti-henti mengunyah.



"Alamak tak rasa apa pun mi goreng ni! masin tidak, tawar pun bukan. Ada kepahit-pahit macam bawang hangus, ada pula bau macam udang busuk. Macam mana ni?" kata hati Pak Lang.



Pak Lang buat-buat cerita kelakar supaya boleh ketawa. Dengan ketawa itu dapat menutup wajahnya yang sebenar menahan rasa tidak enak. Kata orang muda sekarang 'cover'!



"Eh...cuba aku rasa rendang pulak campur mi sedap tak?"kata Pak Lang sambil bangun mengambil sesenduk rendang daging diletakkan atas mi gorengnya. Pak Lang berharap rendang itu akan dapat menyedapkan rasa mi. Pak Lang pun makan mi bersalut rendang. Mata Pak Lang hampir terbeliak. Di tahanya juga, 'cover'.



"Alamak...rendang pun rasa kelapa dah lama -- hapak!" kata hati Pak Lang. "Kalau aku tak habiskan mi ini memanglah Pak Boko akan kata bahawa aku pun terkena gangguan Hantu Raya Mek Ani. Tapi nak buat macam mana? memang tak sedap," bisik hati Pak Lang.



Lebih setengah jam Pak Lang mengambil masa untuk menghabiskan mi goreng Pak Boko. 'Berhempas pulas' dia menelan mi itu. Sos cili Aminah Hassan hampir setengah botol dicurahkan ke dalam mi. Kicap cap Kipas Udang pun silih berganti di titiskan ke dalam me. Janji boleh telan. Dalam pada menelan mi beraneka campuran itu, telinga Pak Lang di pasak oleh leteran Pak Boko yang tak sudah-sudah mengumpat Mek Ani. Pedulilah apa dia nak cakap, Pak Lang terus menyuap. Akhirnya habis juga mi itu.



"Ahhh...leganya..." kata Pak Lang.



"Apa?" tanya Pak Boko yang mendengar keluh lega Pak lang.



"Tak...aku kata lega...dah kenyang!" jawab Pak Lang.



"Hah itulah Lang, pendinding kau memang kuat. Kalau tak pasal pendinding yang engkau pakai, engkau pun takkan dapat habiskan mi tu," kata Pak Boko penuh yakin.



Pak Lang Rembau tersengeh-sengeh sambil mengangguk. Nasib baik dia tidak tersasul mengeleng-ngeleng.



Seketika kemudian, Pak Lang minta diri untuk pulang. Dia meyakinkan Pak Boko akan berbuat sesuatu. Namun dalam hatinya dia tahu apa masalah warung Pak Boko. Cuma dia tak sampai hati nak bagi tahu Pak Boko.



Sebulan kemudian warung Pak Boko ditutup.




































No comments: