Wednesday, May 15, 2013

SAMPAI BILA PAS NAK KALAH DI NEGERI SEMBILAN


SEMASA saya masih budak-budak dulu, dalam tahun-tahun awal 60an, biasa saya dengar orang-orang tua Melayu kampung di Rembau bercerita tentang politik. Dalam perbualan itu jika disebut sahaja tentang PAS, ramai yang mencebik bibir tanda tak perkenan. Pada zaman itu dalam pilihanraya memang ada didengar calon PAS bertanding di Rembau, tetapi tak pernah menang. Orang Melayu Rembau kata ‘Tak kan monang PAS tu do!’.

Berlarutanlah bertahun-tahun lamanya, pilihanraya demi pilihanraya, saya pun daripada budak dah jadi dewasa, daripada bujang dah berkahwin, daripada ada anak dah bercucu, namun PAS setiap kali pilihanraya bertanding di Rembau pasti kalah. ‘Tak sorik-sorik pulak tu tiap kali pilihanrayo ado ajo dio bertanding, kalah pulak tu!’ Bukan sahaja kat Rembau mana-mana pun di Pilah, Jelebu, Johol  atau mana-mana  alam Negeri Sembilan ini ada sahaja PAS bertanding dan kalah.

Pada pilihanraya 2008 tiba-tiba pecah khabar PAS menang DUN Paroi, dalam Bahagian Rembau. Ramailah orang Rembau yang terlopong, terduduk antara percaya dengan tidak akan berita itu. ‘Tebiat agaknya orang Melayu kito ni mengundi PAS?’

Tetapi kejutan itu tidak lama. Datang pilihanraya 2013, PAS kalah lagi. DUN Paroi pun bungkus. ‘PAS dapek tolo lagi!’ wal hasil balik asal. Semua mengeleng-ngeleng mengiyakan tanggapan bahawa PAS tak akan menang di Negeri Sembilan.

Mengapakah begitu? Apakah benar ‘taboo’ untuk Melayu Negeri Sembilan mengundi PAS? Atau apakah Melayu Negeri Sembilan ini tidak kuat agamanya maka tidak ada  simpati langsung kepada parti Islam itu? Mengapa Melayu kampung di Negeri Sembilan ini tidak seperti Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah,  Perak atau Selangor yang ada jugaklah yang mengundi dan memenangkan PAS. Di Johor yang dikatakan kubu terkuat UMNO pun Melayu sana sudah ada memenangkan PAS dua tiga kerusi. Mengapa tidak di Negeri Sembilan?

Oleh kerana saya bukan ahli PAS, maka saya tidak tahu sama ada kepemimpinan PAS Negeri Sembilan ada jawapan kepada persoalan ini. Atau ada kajian atau penyelidikan yang telah mereka buat mengapa Melayu Negeri Sembilan tidak mengundi PAS? (Mengundi di sini maksudnya mengundi yang membawa kemenangan). PAS Negeri Sembilan mempunyai pengalaman selama 55 tahun kalah di Negeri Sembilan. Tak kanlah pengalaman setengah kurun itu tidak dapat mengajar bagaimana hendak menarik perhatian Melayu beradat perpatih itu untuk mengundi parti Islam. Atau apakah PAS Negeri Sembilan masuk bertanding selama 55 tahun sekadar kononnya untuk menunaikan ‘fardhu kifayah’ sahaja tanpa semangat untuk menang?

Jika hendak membuat penyelidikan tentang Melayu Negeri Sembilan ini jangan lupa untuk mengambil kira beberapa fakta:

(1)   Melayu Negeri Sembilan sebahagiannya adalah penganut adat perpatih yang mana penghulu-penghulu adat adalah orang yang selalu ditaati. Tetapi adat perpatih itu sistemnya mirip ‘demokrasi’ dan sekarang ini semakin longgar pengamalannya.
(2)   Melayu Negeri Sembilan tidak mempunyai sejarah kuat memegang agama seperti orang Kelantan atau Kedah. Agama dalam ertikata mendalami ilmu agama. Sebab itu di Negeri Sembilan sistem pengajian pondok tidak meluas sejak dulu. Maka itu tidak ramai penduduk Negeri Sembilan lepasan pondok.
(3)   Sebahagian Melayu Negeri Sembilan adalah pengamal tarekat. Tarekat lebih mementingkan ibadat individu dan tidak berminat kepada politik. Oleh itu rata-ratanya pengamal tarekat ini sibuk dengan majlis-majlis zikir ke sana sini dan tidak ada yang meluang masa bercakap politik apatah lagi mendengar ceramah politik.
(4)   Negeri Sembilan ketandusan pemimpin agama yang giat berpolitik. Negeri Sembilan tidak ada tokoh seperti Nik Aziz di Kelantan, Ustaz Hadi di Terengganu atau Fadhil Nor (Allahyarham) di Kedah. Pun tidak ada tokoh muda seperti Salehuddin Ayob di Johor atau Nasarudin Hassan di Pahang.
(5)    Melayu Negeri Sembilan tidak mempunyai budaya politik seperti Melayu Johor, Melayu Kelantan atau Melayu Kedah. Politik hanya suatu perkara yang dianggap ringan dan tidak serius.       

Dengan memasukkan persoalan ini dalam kaji selidik kepemimpinan PAS Negeri Sembilan, maka saya yakin pelbagai rumusan boleh dibuat. Daripada situ sepatutnya boleh dilakar perancangan untuk memikat hati orang Melayu Negeri Sembilan kepada PAS. Kalau kena gayanya menjelang pilihanraya 2018 nanti PAS akan mula mendapat hasilnya. 

Thursday, May 9, 2013

Alamak... Khairy Menang!


SEJAK daripada pilihanraya umum 2008, saya memang tidak perkenan kepada calon BN P131 Rembau, Khairy Jamaluddin. Saya memandangnya sebagai seorang ahli politik muda yang oportunis, mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai menantu Perdana Menteri, Datuk (Tun) Abdullah Ahmad Badawi. Daripada cerita-cerita yang saya dengar dan juga pengamatan saya terhadap tingkah lakunya dalam video-video di You Tube, saya membuat kesimpulan bahawa Khairy adalah seorang anak muda yang angkuh, berlagak hanya dia yang pandai dan tidak pernah terasuh sebagai seorang Melayu tulen.

Apabila keputusan PRU12 diumumkan di Rembau saya amat tidak berpuas hati akan kemenangannya tetapi terubat sedikit kerana majoriti yang diterimanya merudum kepada 5,746 berbanding lebih 18,000 yang diterima oleh YB Firdaus pada tahun 2004. Apabila Khairy tidak dilantik menyertai kabinet, saya bertambah gembira dan mula melupai anak muda yang bongkak  ini.

Masa berlalu. Sampai saja PRU 2013 nama Khairy muncul lagi, kekal menjadi calon P131 Rembau. Hati saya bertanya, mengapa dia masih ada?

Selama dua minggu masa berkempen, saya mengintai-intai perilaku Khairy cuba meraih undi. Saya baca blognya dan saya dapatkan maklumbalas daripada beberapa rakan. Kempen parti lawan juga saya ikuti kalau-kalau ada kutukan terhadap Khairy. Saya baca dalam blog Aspan Alias – dia memuji Khairy.

Saya mulai sedar bahawa Khairy sudah berubah. Pengalaman mengajarnya menjadi dewasa. Penghinaan terhadapnya apabila diketepikan oleh pimpinan UMNO pusat juga mengajar dia untuk menyepikan diri. Walaupun Pemuda UMNO yang dipimpinnya tidak lagi menjadi kumpulan pendesak yang digeruni, tetapi masih boleh dia bertahan selama lima tahun. Muncul sekali sekala di sana sini.

Saya tidak boleh mengenepikan faktor keinsafan dan taubat. Benar Khairy sudah berubah. Benar dia adalah satu-satunya pemimpin muda UMNO yang cerdik dan rasional. Lebih cerdik daripada pemimpin-pemimpin senior UMNO terutamanya di Negeri Sembilan.

Maka itu, dibantu oleh kelemahan PKR dan PAS dalam Parlimen Rembau, maka menanglah Khairy dengan gemilangnya mengembalikan majoriti 18,357. Syabas!     

PRU13: Senjata makan tuan!


KAWASAN pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ada sekarang adalah antara punca kalahnya Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-13 baru lalu. Strategi mewujudkan kawasan pilihanraya seperti ini adalah seperti ‘senjata makan tuan’.

Kawasan Pilihanraya yang ada sekarang adalah sempadan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada tahun 2003.  Penyusunan semula kawasan pilihanraya ini mengambil kira apa yang berlaku dalam pilihanraya umum 1999. Dalam PRU itu BN mengalami beberapa siri kekalahan di kawasan-kawasan pengundi majoriti Melayu kerana isu terhangat pada masa itu ialah pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Negeri-negeri yang terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Maka itu kawasan-kawasan pilihanraya itu disusun dan disempadankan dengan mengambil kira supaya di kawasan-kawasan Melayu perlu ada pengundi-pengundi minoriti Cina yang menjadi ‘kuasa penentu’. Begitu juga di kawasan-kawasan majoriti Cina ada sejumlah pengundi Melayu yang akan menjadi ‘kuasa penentu’ di kawasan itu.

Strategi penyusunan kawasan seperti ini dalam bahasa Inggeris disebut ‘gerrymandering’.

Strategi ini akan memberi peluang yang lebih kepada parti pemerintah BN. Apatah lagi pada masa itu adalah suatu kepercayaan umum ataupun ‘taboo’ bahawa orang Cina tidak akan mengundi PAS dan orang Melayu tidak akan mengundi DAP.

Dengan itu bila-bila masa calon UMNO berdepan dengan PAS di kawasan Melayu, undi Cina akan menentukan calon UMNO itu menang atas  lambang BN. Begitu juga sebaliknya di kawasan Cina orang Melayu tidak akan mengundi DAP tetapi akan memberi kemenangan kepada calon MCA yang berlambangkan Dacing.

Persempadanan baru yang digazetkan pada 2003 itu pertama digunapakai pada PRU 2004. Hasilnya, disamping keghairahan memberi sokongan kepada PM Baru, Datuk Abdullah Badawi, BN menang besar yang mencatatkan rekod kemenangan paling gemilang dalam sejarah pilihanraya di negara ini.

 Menjelang PRU 2008 berlaku suatu perubahan yang tidak pernah terduga oleh sesiapa pun. Wujud suatu semangat di kalangan sebahagian pengundi yang tidak berdasarkan etnik atau kaum. Mereka bagaikan satu bangsa Malaysia yang memperjuangkan kepentingan bersama. Bagi mereka bukan lagi ‘taboo’ bagi pengundi Melayu mengundi DAP dan begitu juga tidak lagi berpantang Cina mengundi PAS.

Dengan wujudnya semangat seperti ini kuasa-kuasa penentu yang diadakan oleh SPR di kawasan-kawasan pilihanraya itu sudah tidak memberi bekas. Malah digunakan oleh pembangkang untuk memberikan keputusan mengejut.

Memang semuanya terkejut! Pembangkang yang menang pun turut terkejut.

Dengan pengalaman 2008 itulah kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat melangkah ke PRU 2013. Kali ini pengundi Cina tekad memberi undi selain Dacing. Maka itulah di kawasan-kawasan yang Melayu majoriti, undi Cina memberi kemenangan kepada calon-calon PAS dan PKR. Begitu juga sebaliknya. Keputusannya sudah sama-sama kita ketahui.

Apakah kawasan pilihanaraya yang sama akan digunakan untuk PRU 2018?

Menurut perlembagaan kawasan pilihanraya ini perlu disemak semula setiap 8 atau 10 tahun. Tahun 2013 adalah tahunnya kawasan pilihanraya ini disemak semula. Tetapi kali ini dapatkah SPR mensempadankan semula kawasan menurut suka hatinya sedangkan parti pemerintah BN tidak mempunyai kuasa 2/3 yang diperlukan.

Itulah sebab sebenarnya Anwar sudah berkempen semula mencabar SPR dua tiga hari selepas pilihanraya!   
  

Sunday, April 28, 2013

PENGUNDI SEMAKIN BERANI


PENGUNDI pada tahun 2008 masih lagi teragak-agak untuk mengundi parti selain Barisan Naional. Kerisauan akan berlaku kekacauan dan rusuhan menghantui diri jika BN kalah dalam pihanraya itu. Apa akan jadi jika pembangkang memerintah? Itu semua menjadi tanda tanya kepada pengundi pada masa itu.

Walaupun pada masa itu semangat untuk memberontak, untuk mengundi parti lain begitu bersemarak tetapi rasa takut dan cemas turut menguasai hati pengundi. Ada sebahagian yang memberanikan diri untuk memangkah selain dacing manakala yang lain masih mengundi BN sementara ‘tunggu dan lihat’ apa berlaku jika BN ada yang kalah.

Keputusan PRU2008 amat memeranjatkan. Pemimpin-pemimpin pembangkang juga terkejut dengan keputusan itu. BN mengalami kekalahan dalam erti kata hilang majoriti dua pertiga. Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Semua rakyat tertunggu-tunggu apa berlaku seterusnya.

Hari demi hari, tidak ada kekacauan yang berlaku. Tidak ada rusuhan. Tidak ada orang Melayu yang tergolek di sana sini. Tidak ada orang Cina yang mati bergelempangan. Semua aman damai, hidup seperti biasa. Tidak ada bezanya kehidupan harian di Pulau Pinang atau pun di Johor. Kedamaian di Kelantan sama dengan kedamaian di Pahang.

Sejak itu keyakinan mulai timbul di hati pengundi bahawa mengundi pembangkang tidak mendatangkan sebarang bencana. Kebimbangan tentang kekacauan dan rusuhan hanyalah satu persepsi yang dimomok-momokkan dari dulu. Apabila benar bertukar kerajaan tiada huru hara yang berlaku. Semuanya macam biasa. Keyakinan di hati pengundi kian kukuh.

Sepanjang lima tahun ini pula politik sentiasa panas. Jumlah pembangkang yang ramai berbanding dulu sentiasa menimbulkan isu-isu yang menggegarkan masyarakat. Persada politik tidak pernah sunyi. Kebebasan bersuara semakin jelas kewujudannya. Orangramai menyaksikan sendiri betapa pemimpin-pemimpin pemerintah di kritik berdepan-depan. Rasa kebebasan benar-benar wujud.

Dan akhirnya selepas lima tahun yang panjang, pengundi sekali lagi akan mengadap peti unti. Kali ini keyakinan pengundi tidak seperti 2008. Lebih ramai yang berani daripada yang takut. Kematangan politik kian meninggi. Ramai yang tidak takut menunjukkan sokongan kepada pembangkang secara terang-terangan. Dan, majoriti yang senyap (the silent majority) yakin apa yang mereka hendak pilih.

Dengan sikap inilah pengundi akan menentukan masa depan negara ini pada 5 Mei ini. Kali ini tidak ada yang menghalang mereka untuk mengundi siapa saja yang mereka suka. Ini amat membimbangkan Barisan Nasional!

Saturday, April 27, 2013

BN GAGAL DI ALAM CYBER


SATU daripada penyebab kekalahan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008 adalah berleluasanya penggunaan media baru (internet). Melalui internet pengundi terutamanya pengundi muda (40 tahun ke bawah) memperolehi maklumat perkembangan politik sekaligus mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan siapa hendak diundi.

Pemimpin-pemimpin BN selepas PRU itu mulai sedar akan pengaruh media baru ini kepada pengundi. Namun ramai juga yang tidak mempercayainya seperti bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin.  Pengulas dan penganalisa politik bebas juga tegas mengatakan bahawa media baru memberi sumbangan yang besar kepada corak pengundian pada PRU2008 itu.

Maka itu pemimpin-pemimpin tertinggi BN khususnya UMNO mengarahkan supaya tumpuan diberikan untuk memasuki dan menguasai media baru ini. Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat digalakkan berinteraksi melalui internet sama ada melalui laman-laman Facebook atau Blog. Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sendiri ketika itu mempunyai blog yang antara tertinggi dilayari di negara ini.

Tidak cukup itu UMNO juga menubuhkan unit-unit khusus untuk mewujudkan gerila-gerila cyber yang mengendalikan blog-blog pro-UMNO. Gerila-gerila ini dibayar, ditaja dan diupah untuk mengendalikan blog. Mereka diarahkan melakukan apa saja yang perlu bagi mempertahankan UMNO. Lantas itu bermulalah ‘perang cyber’ yang amat sengit sejak 2008 sehinggalah menjelang PRU2013.

Lahirlah beratus-ratus (atau mungkin beribu-ribu) jumlah blog-blog pro-UMNO yang tugas mereka adalah menyerang blog-blog yang dikendalikan oleh penyokong-penyokong pembangkang atau Pakatan Rakyat. Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar daripada blog-blog pro-UMNO ini adalah dibayar atau diupah. Tidak ada undang-undang atau peraturan yang mengawal mereka. Mereka bebas melakukan apa saja.

Dengan kuasa wang, ternyata jumlah blog-blog pro-UMNO ini tiada tandingannya. Mereka berada di mana-mana sahaja di alam cyber. Dari segi jumlah jelas sekali mereka memenangi ‘peperangan ini’. Tetapi dari segi matlamat belum tentu lagi mereka yang menang.

Penulisan blog, portal, facebook atau apa saja panggilannya adalah sama matlamatnya iaitu memberi maklumat dan mempengaruhi minda pembacanya. Sebagaimana media-media konvensional seperti akhbar dan televisyen, yang penting ialah menarik minat pembaca untuk membacanya dan penonton untuk menontonnya.

Sayang sekali blog-blog pro-UMNO yang begitu banyak ini gagal mencapai matlamatnya. Mereka dibayar untuk menyerang lalu mereka menyerang dengan apa cara yang mereka tahu. Mereka memaki hamun, mecarut-carut tak tentu pasal dan berkelahi macam budak-budak kalah main guli. Mereka menjadikan topik-topik lucah sebagai bahan untuk mencerca lawannya tak ubahnya seperti pelacur-palacur yang berkelahi sesama sendiri merebut pelanggan di lorong-lorong gelap.

Menyiarkan visual-visual lucah yang dikait-kaitkan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi agenda yang paling glamour di kalangan mereka. Diperingkat awal visual-visual ini disiarkan ramai yang tertarik dan mempercayainya. Tetapi apabila sudah terlalu kerap ia ditayangkan pengunjung-pengunjung alam cyber mulai jemu, mulai meluat, menyampah dan akhirnya mengenepikan visual-visual itu begitu sahaja. Sekaligus ‘kredibiliti’ blog-blog ini jatuh berkecai. Blog mereka akhirnya hanya dikunjungi oleh mat-mat rempit yang mencari hiburan-hiburan murah dan suka membaca carut marut si blogger.

Ada juga blog-blog penyokong pembangkang yang terikut-ikut dengan keletah blog-blog pro-UMNO ini. Mereka juga menerima nasib yang sama – hilang kredibiliti. Cuma jumlah mereka agak kurang kerana tiada siapa yang memberi upah berbanding yang pro-UMNO.

Tercapaikah matlamat blog-blog pro-UMNO ini? Jawabnya tidak!

Pengundi atau pun bakal pengundi yang melayari internet adalah mereka yang celik akal. Mereka sekurang-kurangnya berpendidikan SPM dan ramai yang berdiploma atau berijazah. Atau mereka adalah anak muda yang bertamadun dan mengerti apa itu akhlak serta dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Pendek kata mereka adalah kalangan yang berfikir.

Mereka ini melayari alam internet untuk mencari bahan-bahan dan maklumat-maklumat politik yang tidak diperolehi di dalam media-media arus perdana.Mereka ingin mencari maklumat yang tepat dari kacamata sebelah sana (pembangkang). Tidak semestinya mereka ini penyokong pembangkang, tetapi mereka adalah pencari fakta daripada kedua-dua belah pihak untuk dijadikan hujah bagi mereka membuat keputusan. Media arus perdana tidak dapat memberikan keseimbangan maklumat kedua-dua pihak. Media arusperdana berat sebelah.

Di alam cyber pengundi-pengundi bertamadun ini juga tahu memilih antara blog atau portal yang seimbang atau boleh dipercayai. Mereka mengkesampingkan blog-blog yang penuh dengan maki hamun dan sumpah seranah. Mereka mencari blog dan portal yang berhujah dengan fakta yang baik dan mempunyai kredibiliti. Jika mereka membaca tulisan-tulisan A.Kadir Jasin misalnya, mereka juga membaca tulisan-tulisan Aspan Alias atau Sayuti Omar. Mereka tahu A.Kadir Jasin penyokong kerajaan dan mereka juga tahu Aspan adalah ahli DAP. Namun mereka menghormati pendapat kedua-duanya.

Dan, bagi blog-blog yang penuh dengan sumpah seranah dan maki hamun, tinggallah mereka dengan peminat-peminat mereka yang ‘eksklusif’!! 

Sunday, March 3, 2013

Lahad Datu: Kalaulah DR. MAHATHIR masih PM

Kalaulah Dr. Mahathir Mohamad masih lagi Perdana Menteri Malaysia sekarang ini (2013) jangan harap penceroboh Sulu di Lahad Datu itu akan dapat bertahan lama. Dalam tempoh beberapa hari sahaja insiden itu akan selesai dengan muktamad. Dr. M terbukti seorang yang tegas, cepat bertindak dan berani mengambil risiko. Alangkah bertuahnya kita kalau Mahathir masih lagi PM!

Apakan daya PM sekarang ini tidak sehebat Mahathir, malah terlalu lemah dan jelas nampak takut untuk bertindak dan mengambil risiko. Nampak benar Dato' Najib 'try to play safe' dengan menyerahkan keputusan bertindak kepada Ketua Polis Negara. Suatu tindakan yang berunsur penakut dan cuba mempertahankan dirinya jika peristiwa buruk berlaku dengan ayat: "Bukan saya yang buat keputusan tetapi KPN!" sedangkan PM adalah Pengerusi Majlis Keselamatan Negara.

Oh...kalaulah Dr. Mahathir masih lagi Perdana Menteri Malaysia!

Wednesday, November 28, 2012

BILA USTAZ JADI TOK BOMOH

"Jangan sekali-kali pergi ke kuil walau apa pun alasan," tegas Ustaz Mohd Zaidi Ramli, mantan Timbalan Mufti Negeri Sembilan (sekarang berkhidmat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan).
"Kita khuatir akidah akan tergugat ketika berada di dalam kuil," sambungnya ketika memberi ceramah di sebuah surau taman perumahan di pinggir bandar Seremban.

Berkali-kali tegahan ini disebutnya sepanjang ceramah dua jam itu. Jelas bahawa beliau amat tidak selesa dengan perkembangan mutakhir ini yang menampakkan orang-orang Melayu (terutama pemimpin) yang bersikap begitu leberal terhadap bukan Islam terutamanya penyembah berhala.

Pak Lang setuju dengan pendirian Ustaz Ramli itu, tetapi ada gejala lain yang lebih serius dan berbahaya yang perlu ditangani lebih daripada isu kuil. Kalau soal kuil kita berkeyakinan orang Melayu memang kebal tidak mudah terpesong menyebelahi si penyembah berhala. Kita juga yakin majoriti orang Melayu akan tetap mengelak daripada mendekati atau memasuki kuil. Yang pergi ke kuil itu adalah segelintir cuma yang mencari pengaruh politik atau laba lain yang mungkin ditemui.

Lebih berbahaya daripada kuil ialah gerakan mensyirikkan orang Melayu di kalangan Orang Melayu sendiri. Ini adalah gerakan yang amat berbahaya tetapi amat sedikit usaha dibuat untuk menentangnya. Apa yang Pak Lang maksudkan ialah  merebaknya kepercayaan Orang Melayu kepada khurafat-khurafat yang bertopengkan Perubatan Tradisional Islam. Mentang-mentang ada label 'perubatan Islam' kita beranggapan semuanya beres tidak ada unsur-unsur syirik di dalamnya.

Sebenarnya kita silap! Pada hari ini Orang Melayu semakin kuat mempercayai kepada makhluk-makhluk ghaib yang mempunyai kuasa menjadi punca segala penyakit di dunia. Hanya dengan menangkap, memancung dan membunuh jin/syaitan baru sesuatu penyakit dapat dipulihkan. Rata-ratanya ramai yang sanggup berhabis-habisan wang ringgit untuk menentang makhluk-makhluk ghaib ini. Maka itu perubatan tradisional ini menjadi satu industri yang lumayan.

Tok-tok Dukun, Bomoh dan Pawang yang sekarang bergelar 'USTAZ' , menggunakan pelbagai cara untuk meyakinkan orangramai bahawa merekalah yang terhandal. Maka keluarlah pelbagai kaedah perubatan yang sebelum ini tidak pernah didengar di Alam Melayu. Semua kaedah ini disaluti dengan hujah-hujah keIslaman dengan menafsir ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis-hadis dhaif atau palsu.

Ustaz-ustaz yang benar-benar ahli agama lepasan Azhar atau universiti lain di Timur Tengah juga turut berubah menjadi pengamal perubatan tradisional ini. Pendapatan mengubat orang ini lebih lumayan daripada menjadi guru agama atau penceramah-penceramah di masjid dan surau. Oleh kerana mereka memang pandai berbahasa Arab dan membaca ayat suci dan hadis dengan lancar maka mereka lebih dipercayai.

Dan... ustaz-ustaz muda ini juga mencampur baurkan kisah-kisah tahyul Melayu dalam perubatan yang kononnya berteraskan al-Quran dan Sunnah. Mereka juga bercerita tentang saka, susuk, santau, perubatan jarak jauh, menangkap dan membunuh jin, memagar rumah dan beraneka kisah-kisah tahyul yang diwarisi oleh orang Melayu sejak zaman puntung berasap.

Orangramai yang jahil dalam soal ini cepat sahaja terpengaruh dan yakin dengan segala khidmat nasihat yang diberi walaupun itu semua tidak ada di zaman Nabi dan tidak pernah diamalkan oleh para sahabat maupun ulama-ulama salaf selepas mereka.

Inilah syirik tersembunyi yang bermaharajalela di kalangan masyarakat Melayu Islam dewasa ini. Ini lebih berbahaya daripada melihat kuil mahu pun  berinteraksi dengan mubaligh Kristian.

Ustaz Zaidi dan juga ustaz-ustaz lain yang masih belum tergelincir ke alam perubatan tradisional ini perlu menangani masalah ini. Cepat!