Wednesday, September 28, 2011

Warung Tak Laku, salahkan hantu



PAK Boko tersenyum sinis memandang sebuah lagi warung makan didirikan tidak jauh dari warung makan miliknya. Sudah lebih tiga bulan warung miliknya itu beroperasi, menjual nasi lemak, nasi campur, mi goreng, mi hailam, mi sup, mi bandung dan macam-macam mi lagi. Ketika mula-mula dibuka di tapak tepi jalan Taman Springhill, Port Dickson, perniagaan amat laris. Hari pertama tak menang tangan. Pak Boko basah kuyup bermandi peluh membuat teh tarik, Nescafe tarik, Milo tarik, teh O, teh nipis dan macam-macam lagi minuman. Isterinya pula bagai nak pitam goreng pelbagai masakan panas tempahan pelanggan. Dua anaknya, seorang bujang seorang gadis, juga berpeluh-peluh melayani permintaan pelanggan.



Itu cerita hari pertama, minggu pertama. Memang ramai yang datang makan ke warung Pak Boko. Itulah warung pertama di taman perumahan itu. Pada minggu kedua, jumlah pengunjung warungnya mulai berkurang. Masuk minggu ketiga, lagi kurang yang datang. Masuk bulan kedua, jumlah pelanggannya hanya cukup untuk balik modal dan untung sedikit. Namun, Pak Boko tetap berpuas hati kerana masih lagi ada untung untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga. Begitulah seterusnya sehinggalah ke penghujung bulan ketiga.




Tiba-tiba suatu pagi sebuah lori kecil masuk ke kawasan taman perumahan itu dan berhenti agak-agak sepelaung dari warung Pak Boko. Dari lori itu turun kayu-kayu tiang, gelegar dan papan-papan dinding. Beberapa keping zink diturunkan juga berikat dengan dawai. Tak lama lepas itu kelihatan tiga orang tukang mula mendirikan sebuah warung.



Pak Boko berdebar. Terdirinya warung baru itu bermakna dia sudah ada saingan. Apa yang akan dijualnya? Pasti makanan. Apa pun makanan yang dijual pasti akan menjejaskan sedikit sebanyak jualan warung Pak Boko. Ini satu ancaman. Hati Pak Boko mula mendidih. Mahu saja rasanya malam nanti dia pergi membakar warung baru itu. Namun isterinya menasihatinya supaya bersabar.



Beberapa hari kemudian memang apa yang sangat dibimbangkan oleh Pak Boko telah berlaku. Warung baru itu memulakan perniagaannya. Jualannya hampir serupa dengan jualan di warung Pak Boko tetapi ada beberapa kelebihan. Di sebelah pagi warung baru itu ada pula menjual nasi dagang, nasi kerabu dan laksam. Padanlah pun sebab pemiliknya, Mek Ani, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.



Warung Mek Ani dikerumuni oleh pelanggan rata-ratanya penduduk Taman Springhill dan juga pekerja-pekerja sekitar kawasan itu. Hari pertama memang ramai. Minggu pertama tetap ramai. Pak Boko yang sentiasa memerhatikan dari jauh berharap masuk minggu kedua dan seterusnya pelanggan akan berkurang seperti yang berlaku pada warungnya dulu. Tetapi tidak. Minggu kedua seterusnya bulan kedua, warung Mek Ani tetap ramai dikunjungi pelanggan. Masuk bulan kedua begitu juga.



Sementara itu warung Pak Boko semakin tenat. Sejak warung Mek Ani dibuka, pelanggan Pak Boko makin berkurang. Menjelang bulan kedua, perniagaan Pak Boko tidak balik modal. Nasi lemaknya tak laku, lauk pauk untuk tengahari tidak berusik, basi begitu sahaja. Isteri Pak Boko dan dua anaknya duduk termenung, sekali-sekali menguap sambil menunggu pelanggan. Air didih Pak Boko kering menjadi wap begitu saja tanpa ada teh atau Nescafe tarik. Sekiranya keadaan ini berterusan dalam tempoh seminggu dua lagi, Pak Boko tiada pilihan tetapi menutup warungnya. Ini tak boleh jadi, fikir hati Pak Boko.



Pak Boko minta bantuan. Dia menelefon Pak Lang Rembau minta tolong carikan bomoh untuk memulihkan perniagaannya.



"Buat apa cari bomoh?" tanya Pak Lang Rembau kehairanan.

"Warung aku dah kena buatan orang! Ada orang dengki nak curahkan pasir dalam periuk nasi aku. Orang itu hantarkan Hantu Raya kat warung aku supaya pelanggan tak nampak warung aku hanya nampak warung mek Kelantan tu aje," kata Pak Boko bersungguh-sungguh.


"Takkanlah begitu?"sahut Pak Lang.

"Betul Lang, kau tolonglah aku buatkan pendinding ke... atau semah halaukan hantu tu," rayu Pak Boko.

"Yo..lah besok aku datang," jawab Pak Lang Rembau.



Esoknya, seperti dijanji sebelum matahari terpacak di ubun-ubun, Pak Lang dah sampai ke warung Pak Boko. Sebelum masuk ke warung itu, Pak Lang memerhati warung Mek Ani daripada jauh. Memang betul warung Mek Ani tu penuh pelanggan.



Selepas bersalaman Pak Lang duduk di suatu meja. Tiada pelanggan lain di situ kecuali Pak Lang. Pak Boko suruh isterinya buatkan sepinggan mi goreng untuk Pak Lang. Lepas itu mulalah Pak Boko bercerita.



"Aku yakin betul memang mek Kelantan tu hantar Hantu Raya kat warung aku," kata Pak Boko.

"Macam mana kau tahu," tanya Pak Lang.

"Ada satu malam tu anak bujang aku balik dari PD dia ternampak ada kelibat orang lalu lalang kat warung aku. Bila suluh dengan lampu motornya, kelibat tu hilang," cerita Pak Boko bersungguh-sungguh.

"Mungkin budak-budak kaki dadah kot yang cari tempat nak lepak," jawab Pak Lang.

"Eh...betul hantu tu. Ada beberapa orang yang kenal Mek Kelantan tu kata memang mek tu ada menyimpan saka," hujah Pak Boko.

"Eh..saka ke Hantu Raya?" tanya Pak Lang separuh menyindir.

"Tak kiralah....apa pun hantu lah tu,"kata Pak Boko.


"Kau tahu Lang.... sejak warung Mek tu ada, siapa saja yang makan kat warung aku ni mesti tak lalu makan. Mesti tak habis. Mereka makan setengah, berhenti makan, bayar duit terus cabut. Hah... apa maknanya tu. Hantulah yang kacau selera dia orang tu," tambah Pak Boko.



Lama berbual, mi goreng yang dimasak oleh isteri Pak Boko pun sampai. Kebetulan Pak Lang memang dah lapar. Belum sempat dipelawa, Pak Lang dah capai sudu dan garpu, mula menyuap. Masuk suapan yang kedua, Pak Lang mula terhenti-henti mengunyah.



"Alamak tak rasa apa pun mi goreng ni! masin tidak, tawar pun bukan. Ada kepahit-pahit macam bawang hangus, ada pula bau macam udang busuk. Macam mana ni?" kata hati Pak Lang.



Pak Lang buat-buat cerita kelakar supaya boleh ketawa. Dengan ketawa itu dapat menutup wajahnya yang sebenar menahan rasa tidak enak. Kata orang muda sekarang 'cover'!



"Eh...cuba aku rasa rendang pulak campur mi sedap tak?"kata Pak Lang sambil bangun mengambil sesenduk rendang daging diletakkan atas mi gorengnya. Pak Lang berharap rendang itu akan dapat menyedapkan rasa mi. Pak Lang pun makan mi bersalut rendang. Mata Pak Lang hampir terbeliak. Di tahanya juga, 'cover'.



"Alamak...rendang pun rasa kelapa dah lama -- hapak!" kata hati Pak Lang. "Kalau aku tak habiskan mi ini memanglah Pak Boko akan kata bahawa aku pun terkena gangguan Hantu Raya Mek Ani. Tapi nak buat macam mana? memang tak sedap," bisik hati Pak Lang.



Lebih setengah jam Pak Lang mengambil masa untuk menghabiskan mi goreng Pak Boko. 'Berhempas pulas' dia menelan mi itu. Sos cili Aminah Hassan hampir setengah botol dicurahkan ke dalam mi. Kicap cap Kipas Udang pun silih berganti di titiskan ke dalam me. Janji boleh telan. Dalam pada menelan mi beraneka campuran itu, telinga Pak Lang di pasak oleh leteran Pak Boko yang tak sudah-sudah mengumpat Mek Ani. Pedulilah apa dia nak cakap, Pak Lang terus menyuap. Akhirnya habis juga mi itu.



"Ahhh...leganya..." kata Pak Lang.



"Apa?" tanya Pak Boko yang mendengar keluh lega Pak lang.



"Tak...aku kata lega...dah kenyang!" jawab Pak Lang.



"Hah itulah Lang, pendinding kau memang kuat. Kalau tak pasal pendinding yang engkau pakai, engkau pun takkan dapat habiskan mi tu," kata Pak Boko penuh yakin.



Pak Lang Rembau tersengeh-sengeh sambil mengangguk. Nasib baik dia tidak tersasul mengeleng-ngeleng.



Seketika kemudian, Pak Lang minta diri untuk pulang. Dia meyakinkan Pak Boko akan berbuat sesuatu. Namun dalam hatinya dia tahu apa masalah warung Pak Boko. Cuma dia tak sampai hati nak bagi tahu Pak Boko.



Sebulan kemudian warung Pak Boko ditutup.




































Wednesday, September 21, 2011

Bogo Rembau VS Burger Seremban





HARI itu Pak Itam singgah rumah dengan muka tersenyum-senyum. Mak Itam dan dua anak bujangnya juga tersengeh-sengeh sambil bersalaman. Muka masing-masing macam orang puas. Hati aku tertanya-tanya apa hal pula Pak Itam tiba-tiba datang berkunjung.

Pak Itam memecahkan persoalan dengan berkata, "Den sajo singgah ni, dah lamo tak jumpo kau." Sambil perpaling kepada Mak Lang, Mak Itam menyampuk,"Jangan susah-susah buek air, kito semuo dah makan. Dah konyang."

"Poi kenduri ko?" tanyaku pantas.

"Tak. Poi makan bogo kek Paroi Jaya. Sodap bogo ee..." jawab Pak Itam pantas.

Aku terkebil-kebil. Dalam hati mencari jawapan apa hal Pak Itam dari Kampung Legong Ulu, Rembau, datang ke Paroi Jaya, Seremban semata-mata nak makan burger. Betul ke tidak Pak Itam ini.

"Rombau tak ado bogo ko?" tanyaku mencari penjelasan.

"Ado! Tapi tak sodap. Orang kato bogo kek Paroi Jaya tu sodap. Itulah den datang cubo. Memang sodap. Bogo kek Rombau tak sesodap itu," Jawab Pak Itam.

"Jadi, datang dari Logong ni semato-mato nak makan bogo Seromban lah ni?" tanyaku untuk mengesahkan.

"Yo lah!" jawab Pak Itam sambil ketawa beramai-ramai. "Duit minyak kereto lobih sikit tak apo asalkan pueh makan," sambungnya diikuti lagi deraian ketawa.

Aku tumpang tersenyum. Cuma dalam kepala ini terus-terusan musykil, apa pasal burger Rembau itu tidak sesedap burger Seremban? Sedangkan burger yang digunakan sama jenama 'Burger Ramly'. Sos cili dan tomato pun sama. Timun dan salad pun sama. Mayonis pun rasanya sama. Sama di bakar atas kuali besi leper empat segi. Api sudah gerenti sama panasnya. Macam mana boleh burger Rembau tak sedap, burger Paroi Jaya juga yang dicari. Heran...heran?

"Bukan apo yang buek bogo Seromban ni sodap, budak jual bogo tu tak kedokot. Timun ee banyak, kubis ee banyak, ado bawang pulak tu. Sos dongan mayonis tu di bubuh ee meladung-ladung... macam roti canai banjir lah.... mano tak sodap," Pak Itam memberi penerangan.

Belum sempat aku menyampuk Pak Itam menyambung lagi, "Kek Rombau? kek Koto ko, kek pokan Rombau ko, kek pasar malam ko, semuo ee kedokot. Timun adolah dua tigo uleh, kubis pun ambik ado ajo, bawang langsung tak ado. Sos ee? bubuh sikit yo.. mahal kato ee. Mayonis bertuah amek-amek kalau ado. Mano nak sodap?"

Aku mengangguk.

"Hargo bogo kek Rombau samo macam Seromban, tapi sini sodap...pueh hati. Lagi satu, kalau buek banjo kek Rombau, tolo ayam ee gred C ko D. Yang paling kocik lah.... tak macam Seromban tolo ee gred A. Tengok lebar ee pun dah tahu......" rungut Pak Itam lagi.

"Yo lah Pak Itam, selalu-selalulah datang Seromban makan bogo," kataku.

"Hah lopeh makan, singgah rumah kau kan?" sambut Pak Itam.

"Kok singgah, bawak-bawaklah dua tigo kotul bogo paneh!" kataku.

Berderai ketawa.

Dalam hatiku berkata-kata, kalaulah adik-adik penjual burger di Rembau tu belajar daripada adik-adik penjual burger di Seremban, tentu Pak Itam ku tak lagi datang ke Paroi Jaya. Dan jaranglah Pak Itam berkunjung ke rumahku.

Tuesday, September 20, 2011

Media Arus Perdana: Sokong Membawa Rebah



Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) semakin hampir. Walaupun tempoh untuk PRU13 masih ada sehingga tahun 2013 tetapi dijangkakan ia akan berlaku pada tahun 2012. Media Arus Perdana yang menyokong Kerajaan Barisan Nasional semakin ghairah memainkan isu-isu yang boleh melemahkan kekuatan parti pembangkang. Paling terkehadapan dalam memainkan isu-isu ini ialah Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian. Media berbahasa Inggeris walaupun ada memainkan isu-isu politik ini tetapi tidaklah seghairah ketiga-tiga media tersebut.

Apa yang dibimbangkan ialah pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO iaitu Presiden dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertingginya akan merasa yakin bahawa tiga media arus perdana ini sudah cukup mampat untuk menawan sokongan pengundi-pengundi Melayu. Dibimbangkan pemimpin-pemimpin ini dibuai lena oleh keyakinan ini dan 'syok sendiri' bahawa media arus perdana ini sudah berjaya memainkan peranannya.

Sedangkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.

Pertama sekali adalah satu tafsiran yang salah bahawa media arus perdana boleh mempengaruhi undi majoriti. Jika benar, maka perhatikan PRU12 pada tahun 2008, bukankah media arus perdana telah bemati-matian mempermainkan pelbagai isu dengan matlamat mempengaruhi pengundi agar menyokong Barisan Nasional. Apa kesudahannya? BN hilang majoriti dua pertiga dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Di mana pengaruh media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian dalam mempengaruhi pengundi Melayu.

Kedua, jumlah edaran yang tinggi bagi sesebuah akhbar bukan ukuran bahawa akhbar itu boleh mempengaruhi pendirian pengundi. Pembaca membeli Utusan Malaysia, misalnya, bukan hendak membaca cerita-cerita politik tetapi mungkin kerana berita dan gosip-gosip dunia hiburan yang memang Kumpulan Utusan terkenal tentang itu. Begitu juga yang membeli Berita Harian mungkin kerana laporan sukannya yang memang menjadi kekuatan akhbar itu. Atau, penonton menonton Buletin Utama TV3 bukan nak tengok apa Perdana Menteri kata atau isu politik yang digembar-gemburkan. Penonton mungkin menonton Buletin Utama untuk cerita-cerita jenayah, human interest, berita luar negara atau bagaimana gol Arsenal disumbatkan oleh penyerangnya. Inilah sebab yang melonjakkan jumlah edaran akhbar atau jumlah penonton berita TV.

Ketiga, bukan semua orang percaya apa yang dilaporkan oleh akhbar atau disiarkan oleh TV3. Ini adalah kerana ketiga-tiga media arus perdana ini telah mula terhakis kredibilitinya mulai daripada kes Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Sejak itu sedikit demi sedikit kepercayaan kepada laporan-laporan ini mulai terhakis. Paling menjunam ialah kredibiliti Utusan Malaysia. Ini adalah kerana terlalu kerapnya isu-isu berbau politik yang dimainkan tanpa bukti kukuh. Utusan akan memainkan di muka depan cerita-cerita tentang liwat Anwar Ibrahim, kemurkaan Sultan kepada pemimpin pembangkang, 'kekurangajaran' pemimpin atau NGO bukan Melayu dalam isu-isu yang kena mengena dengan orang Melayu, skandal-skandal seks yang disandarkan kepada pemimpin pembangkang, rasuah dalam kepimpinan pembangkang, perselisihan dalam parti-parti pembangkang dan pelbagai lagi cerita-cerita yang dibesar-besarkan dimuka hadapan. Ini menjadikan pembaca menjadi lali dengan laporan-laporan seumpama itu sehingga sampai peringkat MELUAT membaca laporan-laporan berkenaan. Kesannya, laporan seperti ini diketepikan dan mereka beralih kepada halaman-halaman hiburan atau artikel-artikel 'human interest'.

Keempat, akhbar menggunakan tokoh-tokoh yang tidak ada kredibiliti untuk menyokong isu-isu yang mereka permainkan. Sedangkan tokoh-tokoh ini sudah tidak lagi dipercayai oleh pembaca. Contohnya ialah Ibrahim Ali dari PERKASA yang hampir seluruh pengundi di Malaysia tahu siapa dia dan pendirian politiknya. Tokoh ini sudah hilang kredibilitinya. Hairan sungguh bagaimana boleh Pengarang-pengarang akhbar yang bijak pandai boleh tak tahu tentang soal-soal kredibiliti ini. Aneh!

Kelima, Pengarang-pengarang akhbar dan Pengurus-pengurus berita TV sudah tidak lagi berpegang kepada prinsip kewartawanan. Mereka sudah tidak lagi menjadi cerdik pandai media yang menjadi tokoh yang dihormati oleh masyarakat. Mereka bukan lagi wartawan yang dilihat sebagai intelek yang mempunyai pendirian dan berpegang teguh kepada kebenaran. Mereka tidak dapat menjadi seperti A.Kadir Jasin, Johan Jaafar, Rejal Arbee, Mazlan Nordin, Chamil Wariya atau M.Noor Azam. Walaupun nama-nama ini adalah rata-ratanya penyokong Kerajaan BN tetapi mereka masih ada prinsip kewartawanan. Di zaman mereka kredibiliti kewartawanan masih utuh. Di zaman mereka Menteri dan timbalannya boleh meletak jawatan kerana serangan tulisan mereka. Di zaman mereka ketua-ketua jabatan di kementerian boleh bertukar 24 jam kerana pendedahan oleh akhbar. Mereka tidak menjadi 'mercenaries' seperti pengarang-pengarang yang sedang berkuasa sekarang ini!

Inilah realiti media-media arus perdana yang menjadi penyokong BN dewasa ini. Amat diyakini bahawa pengarang-pengarang ini sentiasa memberikan laporan kepada 'Political Master' mereka bahawa laporan-laporan mereka telah berjaya mempengaruhi orangramai. Mereka berdalil kepada jumlah edaran akhbar mereka yang tinggi atau 'rating' siaran berita mereka yang mencecah jutaan penonton.

Sekiranya pemimpin-pemimpin tertinggi dalam UMNO atau BN terus percaya kepada semua omongan ini, maka tunggulah padahnya nanti. Harapkan sokong, sokong membawa rebah!

Monday, September 19, 2011

Hantu Melayu Oh Hantu Melayu

INILAH zamannya cerita hantu menjadi-jadi. Filem-filem hantu mengalahkan Hantu Jerangkung, Hantu Kubur dan Sumpah Orang Minyak terbitan Shaw Brothers di tahun-tahun 50-an. Mengalahkan Pontianak dan Dendam Orang Minyak terbitan Cathay Kris Film. Kisah-kisah hantu sekarang ini penuh dengan pelbagai 'special effect' dan 'computer generated image' yang menewaskan hantu-hantu zaman hitam putih. Memang benarlah kata orang, hantu-hantu dalam filem sekarang ini amat menakutkan sehinggakan hantu sebenar pun naik takut melihatnya.

Tapi sayang filem Melayu tetap filem Melayu. Buat cerita hantu pun tak cukup 'research', main hentam keromo sahaja. Tidak ada penyelidikan mendalam tentang hantu Melayu yang sebenarnya. Penerbit main tangkap muat sahaja cerita-cerita hantu itu kerana tergesa-gesa nak kaut keuntungan sementara penonton sedang ghairah tonton cerita hantu. Maka itu amat kurang nilai seni di dalamnya.

Yang menjadikan cerita hantu sebagai cerita komidi pun tak ramai yang berjaya. Setakat ini hanya 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' sahaja yang berjaya bertahan sebagai sebuah cerita hantu komidi yang penuh dengan mesej dan sindiran masyarakat. Penerbit lain cuba juga nak buat komidi hantu tapi tak berjaya. Ada unsur-unsur komidi tapi tak dapat bertahan sepanjang 90 minit filem itu. Akhir-akhirnya cerita menjadi hambar dan penonton keluar panggung bermuka kecewa.

Cerita hantu serius pulak semuanya menjadi 'stereotype'. Semua tentang kisah hantu kembali untuk membalas dendam atau untuk menceritakan kebenaran sesuatu kejadian (biasanya kisah bagaimana dia dibunuh). Hantu pula muncul terlalu kerap sehinggakan menghilangkan rasa seram penonton. Kemunculan hantu itu pulak sudah boleh diduga. Setiap dugaan itu tepat penonton ketawa beramai-ramai -- macam pesta teka meneka.

Muka hantu pulak lazimnya dibubuh bedak banyak-banyak. Lipstik ada yang pucat warna biru ke atau coklat. Kalau nak gambarkan darah, diwarnakan merah semerahnya. Ini semua make up yang sudah 'mangli' bagi penonton. Tidak ada rasa takut lagi. Apatah lagi jalan cerita mula merepek-repek, berdialog dengan hantulah, berbual dengan hantulah, buat 'deal' dengan hantulah. Cerita dah jadi tak tentu arah.

Yang 'best'nya bila sampai babak Tok Dukun atau Bomoh atau 'Ustaz' datang mengubat. Seperti biasa shot asap kemenyan berkepul-kepul mesti ada, bacaan ayat Quran yang lengkap dengan tajwid dan taranumnya bergema-gema dalam panggung dan macam-macam lagi adegan yang dah biasa kita tengok sejak zaman wayang hitam putih.

Begitulah cerita hantu Melayu dizaman serba moden ini. Inilah yang dibangga-banggakan oleh karyawan filem kita hari ini. Tak ramai yang mengambil perbandingan dengan filem-filem Hollywood yang menerbitkan cerita-cerita hantu yang lengkap dan mendalam 'research'nya. Mereka menerbitkan filem-filem yang 'base on true story' atau petikan daripada cerita-cerita dari gereja. Mereka mengolah cerita-cerita itu berdasarkan kepada amalan-amalan dan kepercayaan dalam agama Kristian. Begitu mantap susunan skripnya sehinggakan kita kagum akan apa yang kononnya wujud dalam 'Bible'!

Sedangkan kita orang Melayu yang beragama Islam lebih mengetahui dan lebih terarah dalam kepercayaan alam ghaib. Kita ada 'Surah Jin' dalam al-Quran yang memperkatakan alam ghaib ini dan kita ada banyak hadis-hadis Nabi dan sirah yang memperkatakan tentang alam Jin dan Syaitan. Kita ada tulisan kitab-kitab ulama silam yang memperkatakan tentang tipu muslihat Jin dan Syaitan. Jika semua sumber ini digali dan diolah menjadi sebuah cerita yang mantap skripnya, bukan sahaja kita akan berjaya memaparkan satu hasil seni yang dikagumi tetapi akan juga menjadi petunjuk supaya kita tidak hanyut dalam dunia tahyul dan khurafat yang tidak menentu arah.

Cubalah penerbit-penerbit kita yang bijak pandai dan ada yang dah bergelar Dato' itu memikirkan hal ini. Cubalah pengarah-pengarah kita yang berbangsa Melayu dan beragama Islam itu memikirkan hal ini. Dan cubalah pegawai-pegawai kita yang bijak pandai di FINAS dan kementerian-kementerian memikirkan hal ini. Dan akhirnya para alim ulamak, pensyarah-pensyarah ilmu wahyu, ustaz-ustaz, imam-imam muda dan pak-pak lebai pun janganlah lepas tangan buat tak nampak kepada hantu-hantu ini!!